Masalah kerajaan sekarang warisan pentadbiran Muhyiddin, kata Khaled Nordin


Naib Presiden Umno Mohd Khaled Nordin berkata sebahagian besar masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah warisan daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

SEBAHAGIAN besar masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah warisan daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin semasa jadi perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden Umno Mohd Khaled Nordin.

Katanya Muhyiddin tidak terus menyalahkan kerajaan sekarang ketika segala masalah itu sedang cuba diselesaikan.

“Beliau seolah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah diwarisi dari kerajaan PN. Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. 

“Saya percaya Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya dalam satu komentar pendek di Facebook hari ini.

Muhyiddin jadi perdana menteri pada Mac 2020 selepas percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. 

Beliau mentadbir selama lebih kurang 17 bulan, yang keseluruhannya dibayangi pandemik Covid-19 dengan kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan mengawal penularan.

Muhyiddin letak jawatan pada 16 Ogos 2021 selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengetuai sekumpulan wakil rakyat Umno menarik sokongan mereka kepada perdana menteri. 

Beliau digantikan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

Muhyiddin kemudian diberi tugas mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN), jawatan yang bertaraf menteri dengan peranan menasihati kerajaan memandu usaha baik pulih dan pembangunan selepas pandemik.

Semalam Muhyiddin melahirkan kekecewaannya apabila hanya 16 daripada 69 cadangan MPN dilaksanakan oleh kerajaan. 

Katanya, 14 usul juga belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan sementara sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.

Menurut Khaled, Muhyiddin dan MPN berhak mengemukakan pandangan kepada kerajaan tetapi terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya.

“Kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. 

“Hanya kerana cadangan tersebut datang dari MPN maka tidak semestinya dilaksanakan secara automatik,” kata Khaled, yang juga bekas menteri besar Johor.

Khaled juga mengingatkan Muhyiddin akan semangat kebersamaan dalam pentadbiran.

“Beliau adalah sebahagian dari kerajaan. Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya,” katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata pentadbiran Ismail Sabri gagal mengurus ekonomi negara dan wajarlah Parlimen dibubar segera untuk membolehkan rakyat memilih sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap. – 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen