Kertas siasatan penghakiman bocor dipulangkan lagi, kata polis


PEJABAT Peguam Negara kelmarin mengembalikan sekali lagi kepada polis kertas siasatan kes draf penghakiman perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor untuk pengesahan maklumat, kata polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata pihaknya akan mengambil tindakan lanjut dan memulangkan kertas siasatan itu kepada pihak Peguam Negara dengan segera.

“Ini hanya untuk pengesahan maklumat. Kita akan siapkan segera kerana tidak melibatkan rakaman keterangan saksi,” katanya.

Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada hujung Ogos tetapi dikembalikan kepada pihak polis pada minggu pertama September, lapor media.

Kertas siasatan disiapkan berdasarkan keterangan 17 individu yang membantu siasatan kebocoran draf penghakiman perbicaraan Najib dan 10 individu lain bagi kes melibatkan draf penghakiman perbicaraan Rosmah, antaranya pegawai mahkamah termasuk hakim.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu menolak rayuan Najib sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman ke atasnya berhubung penyelewengan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Beberapa jam sebelum Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tun Mat yang mengetuai panel lima hakim membacakan keputusan mahkamah, satu dokumen yang didakwa penghakiman mereka muncul di satu laman web dan tersebar di media sosial.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kemudian mengesahkan dokumen berkenaan draf kerja yang belum dimuktamadkan dan tidak sama dengan penghakiman akhir yang dibaca di mahkamah.

Tiga hari selepas itu, satu dokumen lain yang didakwa draf penghakiman keputusan perbicaraan ke atas Rosmah pula muncul dan tersebar di media sosial, menjelang hari keputusan pada 1 September.

Peguam Rosmah kemudian membuat permohonan supaya hakim Zaini Mazlan yang membicarakan isteri bekas perdana menteri menarik diri.

Permohonan tersebut ditolak sementara Zaini menegaskan beliau memutuskan kes itu dengan bebas.

Rosmah diputuskan bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak. Dia merayu hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan bagi setiap tiga tuduhan serta denda RM970 juta. – Bernama, 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen