Putera mahkota Arab Saudi dilantik jadi perdana menteri


Putera Mohammed bin Salman semalam diumum sebagai perdana menteri Arab Saudi. – Gambar AFP, 28 September, 2022.

PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dinamakan sebagai perdana menteri, dalam rombakan Kabinet yang diumum semalam.

Jawatan perdana menteri secara tradisinya dipegang oleh raja.

Putera Mohammed, ‘pemerintah de facto’ Arab Saudi selama beberapa tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan di bawah pemerintahan ayahandanya Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Menurut dekri Raja Salman yang diterbitkan oleh agensi akhbar rasmi Saudi, jawatan menteri pertahanan kini diambil alih adiknya Khalid bin Salman, yang sebelum ini merupakan timbalan.

Tiada perubahan dalam kementerian penting lain, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga, menurut dekri itu.

Mohammed, 37 tahun, ditabal sebagai putera mahkota pada 2017 bagi menggantikan bapanya sebagai raja.

Putera itu jadi menteri pertahanan pada 2015, satu langkah penting dalam penyatuan kuasa yang menyaksikan beliau menerajui portfolio utama.

Sejak bertahun lalu Arab Saudi berusaha menepis spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman, 86, yang memerintah sejak 2015.

Pada 2017, kerajaan Saudi menafikan laporan dan spekulasi bahawa raja itu merancang untuk turun takhta.

Raja Salman dua kali dimasukkan ke hospital ini. Mei lalu beliau menjalani beberapa ujian kesihatan selama seminggu di hospital, termasuk kolonoskopi. – AFP, 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen