Zahid ludah ke langit terkena muka sendiri


DALAM satu kenyataan di Facebook pada 26 September, 2022 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan selepas Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri pada 2018, negara kacau bilau. Kenyataan beliau ini satu dakwaan yang silap.

Kekacauan politik pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya berlaku kerana mainan politik intrik puak pengkhianat dalam PH.

Malah, kekacauan politik ini juga melibatkan Zahid sendiri.

Adakah beliau lupa Umno bekerjasama dengan pengkhianat ini untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang? Bukankah beliau turut sama hadir di hotel Sheraton malam itu; adakah dia sudah lupa?

Justeru, dakwaan presiden Umno ini ibarat meludah ke langit terkena ke muka sendiri.

Kekacauan politik ini tidak akan terjadi tanpa dukungan beliau dan kuncunya. Masakan bertepuk sebelah tangan akan berbunyi jika tidak disambut oleh tangan sebelah lagi.

Zahid juga mendakwa pentadbiran Dr Mahathir menyebabkan ekonomi negara meleset dengan membandingkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum dan selepas Mei 2018. Beliau juga mendakwa ekonomi Malaysia menjadi regresif bawah pemerintahan Dr Mahathir.

Dakwaan presiden Umno ini juga tersasar jauh; hanya orang bodoh saja akan mengiyakan dakwaan Zahid ini.

Apabila PH mengambil alih kerajaan pasca PRU14, perbendaharaan negara sebenarnya telah koyak dek kerakusan tangan pemimpin Umno yang tidak tahu mengurus sumber negara sejak 2015 lagi.

Ini fakta, dan fakta ini dibuktikan dengan penjelasan oleh menteri Umno sendiri.

Mungkin Zahid terlupa pemimpin Umno iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan jelas menyatakan kerajaan dibelenggu hutang legasi tidak produktif berjumlah RM1 trilion dan perlu menyelesaikan hutang 1MDB ini.

Menurut menteri Umno ini juga, hutang dan liabiliti kerajaan meningkat kepada 89.2% daripada KDNK. Ini laporan menteri Umno sendiri, bukan laporan tepi jalan.

Untuk rekod, sewaktu PH mengambil alih pemerintahan kerajaan, beban hutang dari skandal 1MDB ini “beyond repair”, namun dengan kebijaksanaan Dr Mahathir maka kerajaan sedikit demi sedikit dapat mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Kesan kerosakan skandal 1MDB ini bukan saja menjejaskan rancagan pembangunan dan kewangan negara, malah memberi beban besar kepada seluruh rakyat untuk tempoh yang panjang.

Adakah Zahid tidak membaca laporan menterinya sendiri?

Ingin kita jelaskan lagi, semasa Dr Mahathir menjadi PM kali kedua, indeks persepsi rasuah negara dapat dipulihkan selama dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019.

Namun rekod ini tidak kekal lama selepas Umno dan pengkhianat PH bekerjasama menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Kini indek persepsi rasuah kembali ke takuk lama. Bukti yang terbaru, skandal kapal LCS yang dilaporkan melibatkan wang rakyat sebanyak RM6 billion.

Zahid perlu sedar, Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri selama 22 bulan, beliau pada umur 94 tahun bekerja selama 16 jam sehari semata-mata untuk memulihkan negara dengan mencuci daki dan tahi yang ditinggalkan kerajaan Umno dan BN.

Zahid sepatutnya bermuhasabah diri dan berubah menjadi pemimpin yang sejati dan kembali menghormati kedaulatan undang-undang.

Tetapi malangnya, beliau memilih untuk menyalahkan Dr Mahathir. Serangan beliau ini sama dengan serangan “cikgunya” yang mendakwa reformasi gagal dilaksana kerana Dr Mahathir.

Boleh jadi, serangan Zahid ini adalah kerana beliau semakin gusar melihat kebangkitan Gerakan Tanah Air yang akan mencabar Umno pada PRU15 kelak. – 27 September, 2022.

* Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen