MALAYSIA dan China akan bertemu dalam beberapa hari lagi di Putrajaya dan Beijing untuk merangka kerja memulakan pembinaan tiga pelabuhan baharu di sepanjang Selat Melaka dan membangunkan projek Bandar Malaysia, lapor Straits Times hari ini.
Menteri Keselamatan Awam China Guo Shengkun mengetuai delegasi 35 orang ke Malaysia dijadualkan bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi esok berhubung pelabuhan Malacca Gateway bernilai RM43 bilion dan satu lagi pelabuhan di Pulau Carey, Selangor bernilai RM100 bilion.
Pelabuhan ketiga ialah pelabuhan tenaga di Bagan Datoh, Perak di mana Zahid yang membawanya kali pertama ke Beijing pada Januari. Bagan Datoh ialah kawasan Parlimen Zahid.
Pelabuhan tenaga di Bagan Datoh akan dihubungkan dengan paip minyak merentasi semenanjung ke Bachok, Kelantan dengan anggaran kos RM30 bilion, kata akhbar itu.
Straits Times berkata Guo dan Zahid akan mengetuai perbincangan itu kerana pelabuhan dan projek saluran paip ialah kerjasama persefahaman kepentingan keselamatan kepada Beijing dan Putrajaya.
Secara berasingan, Ketua Perbendaharaan Kementerian Kewangan Irwan Serigar Abdullah akan ke Beijing pada minggu ini bagi menyelesaikan projek hartanah berkaitan 1MDB, Bandar Malaysia.
Pembangunan semula pangkalan tentera udara Sungai Besi ialah penyelesaian terakhir bagi syarikat pelaburan yang dilanda skandal itu.
Pembangunan di kawasan seluas 197 hektar milik 1MDB itu akan menjadi hab pengangkutan berpusat, menghubungkan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menerusi terminal terus ke Singapura, laluan MRT, KTM Komuter, ERL dan 12 lebuh raya lain.
Pada 5 Mei, dilaporkan Irwan akan mengendalikan kedua-dua pembangunan di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange.
Straits Times melaporkan, di Beijing, Irwan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat milik China – seperti China Overseas Land and Investment dan juga Greenland Group – mengenai kemungkinan pembabitan mereka dalam pembangunan itu.
Irwan juga akan bertemu pemaju hiburan dan hartanah Dalian Wanda, yang dikawal oleh salah seorang lelaki terkaya di China. Syarikat itu mungkin menjadi pemaju utama Bandar Malaysia.
Ini susulan pembatalan kerjasama awal antara Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corp bagi pemerolehan 60% kepentingan dalam Bandar Malaysia pada nilai RM7.4 bilion.
Lawatan itu susulan inisiatif infrastruktur Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden China Xi Jinping yang dibincangkan dua minggu lalu di persidangan One Belt, One Road di Beijing. – 31 Mei, 2017.
Komen