Slovakia beri ganjaran AS$1.2 juta untuk maklumat wartawan dibunuh


Jan Kuciak (kanan) dipercayai sedang menyiapkan laporan penipuan cukai melibatkan pemimpin negara dan mafia Itali dijumpa mati dibunuh bersama teman wanitanya. – Gambar AFP, 28 Februari, 2018.

PERDANA Menteri Slovakia, Robert Fico, pada Selasa berkata kerajaan negara itu menawarkan ganjaran sebanyak sejuta euro (AS$1.2 juta) kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat berkaitan pembunuhan wartawan penyiasat, Jan Kuciak, lapor agensi berita China Xinhua.

Kuciak, 27, yang bertugas dengan laman sesawang berita Aktuality, dipercayai sedang menyiapkan satu artikel berkaitan penipuan cukai ketika beliau ditembak mati bersama teman wanitanya di Velka Maca, yang terletak di barat Slovakia.

“Jika kematian Kuciak mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan penyiasat, ia adalah satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan akhbar dan demokrasi di Slovakia,” kata Fico.

Beliau berkata pembunuhan kedua-dua mangsa tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Slovakia.

Sementara itu, Presiden Kor Polis Slovakia, Tibor Gaspar, memaklumkan sidang akhbar pada Isnin bahawa pembunuhan Kuciak berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai seorang wartawan.

Kuciak adalah wartawan kelima yang dibunuh di Kesatuan Eropah sejak sedekad lepas, kata Wartawan Tanpa Sempadan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukan untung yang memperjuangkan kebebasan akhbar. – Bernama, 28 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen