-2.jpg)
PADA 19 Mei 2021 Menteri Sumber Manusia M. Saravanan mendedahkan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima sebanyak 1,758 aduan melibatkan bayaran meragukan, tuntutan palsu dan salahguna insentif bayaran gaji pekerja oleh majikan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Sehubungan dengan itu pihak Perkeso juga membekukan bayaran insentif berjumlah RM423 juta untuk program ini seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed pada 15 Julai 2022.
Setakat 20 Julai 2022 seramai 45 orang individu ditahan reman oleh SPRM di beberapa buah negeri menerusi Ops Hire bagi membantu siasatan berkait skandal penyelewengan PenjanaKerjaya ini yang mana dianggarkan melibatkan RM100 juta jumlah keseluruhan.
Apakah langkah-langkah susulan daripada pihak kerajaan ekoran daripada penahanan reman 45 orang individu yang dikatakan bertanggungjawab menyeleweng Dana PenjanaKerjaya tersebut?
Sehingga kini, masih belum ada sebarang pendakwaan yang dibuat terhadap mereka yang terbabit oleh SPRM.
Apa lagi yang ditunggu oleh pihak SPRM sebenarnya? Adakah bukti-bukti masih belum mencukupi?
Siapakah individu-individu yang bersalah dan bertanggungjawab menyeleweng Dana PenjanaKerjaya ini?
Perlu diingat bahawa skandal penyelewengan ini didedahkan sejak Mei 2021, iaitu kira-kira 16 bulan yang lalu. Ops Hire pula telahpun berlangsung lebih dari dua bulan semenjak 15 Julai 2022.
Adakah Ops Hire ini masih dijalankan oleh SPRM dan Perkeso hingga ke hari ini?
Kelewatan pihak kerajaan mengheret penyeleweng-penyeleweng durjana ini ke muka keadilan dikhuatiri akan menimbulkan syak wasangka dan tanggapan buruk terhadap komitmen kerajaan dan perdana menteri khususnya dalam usaha memerangi endemik rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Adakah kerana terdapatnya individu-individu berkedudukan tinggi di sebalik skandal penyelewengan ini seperti yang diragui oleh sesetengah pihak?
Malahan, Menteri Sumber Manusia sendiri pun tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa mungkin ada pimpinan parti MIC yang terlibat secara langsung dalam skandal penyelewengan ini sepertimana yang dinyatakan oleh beliau menerusi jawapan pertanyaan lisan di sidang Parlimen pada 25 Julai 2022.
Justeru, kita menuntut agar pihak SPRM mendedahkan status kertas siasatan berkait skandal penyelewengan ini. Perkara ini tidak boleh dilengahkan lagi kerana kes ini melibatkan penyelewengan dana awam yang besar.
Sekiranya kertas siasatan telah pun dihantar kepada pihak Peguam Negara, apakah alasan pihak Peguam Negara melengah-lengahkan proses pendakwaan?
Ingin ditegaskan bahawa pendakwaan ke atas pelaku kes penyelewengan berkait dengan dana awam wajib disegerakan.
Akhir sekali, wujudnya keperluan mendesak untuk melaksanakan audit forensik bagi mengenalpasti kelemahan dan kelompongan yang ada dalam sistem penyaluran dana PenjanaKerjaya secara tuntas yang memungkinkan aktiviti penyelewengan dan salah guna kuasa berlaku.
Langkah holistik dan telus ini ternyata berkesan sepertimana yang dilaksanakan untuk menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS), dan ia satu keperluan kerana isu ini melibatkan kepentingan umum dengan dana awam yang besar. – 27 September, 2022.
* Kamil Munim, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
Komen