Yusuf al-Qaradawi: Ulama penuh ambiguiti


Faisal Tehrani

Ulama terkenal dunia yang juga pemimpin Ikhwanul Muslimin Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, 96, meninggal dunia petang semalam. – Gambar AFP, 27 September, 2022.

SALAH satu wacana penting yang dikemukakan oleh Yusuf al-Yusuf yang meninggal dunia semalam ialah mengenai ekstremisme dalam Islam. 

Pada tahun 1981 ketika beliau menjadi Dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Qatar beliau mengarang sebuah esei pendek mengenai topik tersebut yang kebetulannya mengkritik gerakan radikal dan ekstrem yang mulai merebak di Mesir tatkala itu.

Demikian masyhur pandangan tersebut, Yusuf malah dianggap suara moderat atau wasatiyyah dan malah esei ini dimuatkan dalam buku awal susunan Charles Kurzman mengenai Islam Liberal (1998). Benar, Yusuf malah pernah dianggap ‘liberal’ oleh tulisan tersebut.

Dalam esei pendek itu, Yusuf menegaskan ektremisme bermakna mereka yang menjauhi kedudukan di tengah dan membawa kepada bahaya dan ketidakselamatan. Islam menurut Yusuf harusnya moderat yang jalannya lurus iaitu al-sirat al-mustaqim. 

Yusuf menambah ektremisme dalam Islam itu membentuk antara lain ghuluw (berlebih-lebihan), tanattu’ (melampau dalam beragama termasuk cerewet dengan hal ranting) dan tashdid iaitu ketegasan atau kejumudan yang keterlaluan. 

Beliau seterusnya menjejerkan demikian banyak dalil dari ayat-ayat suci al-Quran dan hadis untuk menyokong hujahan tersebut.

Yusuf mengatakan ekstremisme dalam beragama membawa kepada banyak masalah iaitu kemampuan manusia biasa untuk menerima, mencerap dan bertoleransi dengan sesuatu yang berlebihan. 

Bukan itu sahaja ekstremisme itu katanya berhayat pendek kerana kebolehdayaan manusia menerima sesuatu yang berlebihan itu amat terhad. 

Ketiga Yusuf membahaskan yang ektremisme akan menyinggung dan menceroboh hak-hak dan tanggungjawab orang lain.

Panduan-panduan inilah yang menjadikan Yusuf semacam tokoh Islam liberal tatkala itu.

Dalam tahun 1981 Yusuf menolak taksub yang menurut beliau membawa kepada sikap tidak boleh bertolak ansur. Beliau menyeru kepada dialog, perbincangan dan mengkritik mereka yang merasakan dirinya betul dan menidakkan orang lain.

Bukan itu sahaja Yusuf sudah meletakkan landasan yang betul apabila menyatakan sebarang usaha dan tindak-tanduk memaksakan syariat dan prinsip-prinsip Islam terhadap masyarakat yang tidak bersedia dan tidak boleh menerimanya (seperti terdapat jumlah bukan Islam yang munasabah) hendaklah ditentang.

Islam kata Yusuf sentiasa meraikan hikmah, mengambil kira kemampuan insan, keharmonian dan manusia yang fitrahnya agak degil akan membawa kepada perkelahian jika dipantakkan sebarang paksaan tanpa ruang untuk mencelah.

Yusuf bahkan membawa contoh puak Khawarij dalam Islam yang hanya percaya diri mereka sahaja yang betul dan keras dalam amalan beragama. Ulama ini seterusnya mengecam gerakan takfir atau kumpulan yang mengkafirkan orang lain seperti Jama’at al-Takfir wa al-Hijra.

Tentu sahaja pandangan dan gagasan di atas mendapat sambutan pada kala awal tahun 1980-an yang dipenuhi kerimasan oleh kebangkitan Islam melulu. 

Tidak menghairankan Yusuf menjadi tokoh gerakan-gerakan Islam yang dianggap progresif ketika itu seperti ABIM dan lain-lain malah sering diundang ke Malaysia. Saya masih ingat Yusuf dianggap tokoh progresif.

Akan tetapi masa berlalu dan dalam banyak perbincangan dan perbahasan sosiologi agama, perlahan-lahan nama Yusuf menjadi lambang kepada apa yang ditentangnya.

Beliau menganut ekstremisme.

Populariti Yusuf yang melesat sepanjang 1980an dan 1990an itu tidak tertahan. Beliau dianggap ulama paling prominen dalam dunia Islam Sunni. 

Sehinggalah tiba-tiba anaknya Abdul Rahman Yusuf al-Yusuf, cenderung kepada Iran, dengan berjinak-jinak dengan mazhab lain dan krisis di Syria meledak.

Lahir dalam tahun 1926, Yusuf menetap di Qatar dan diberi kewarganegaraan Qatar sejak tahun 2013. 

Idea-idea Salafi ala Qatar bergumul dalam benaknya dan setelah al-Qaeda dan ISIS melemah, entah atas alasan apa Yusuf mulai menunjukkan ambiguiti kian ketara.

Ekstremisme yang ditolaknya perlahan-lahan menjadi bahagian dari khutbah dan fatwa Yusuf setelah kerajaan Mohamed Morsi dijatuhkan pada tahun 2013. Poin ini malah menjadikan Yusuf dan anaknya Abdul Rahman berseteru. 

Abdul Rahman al-Qaradawi seorang penyair berpegang bahawa kerajaan Morsi tidak demokratik dan telah melanggar sumpah Presidennya. 

Pandangan itu diturunkan dalam akhbar al-Youm al-Saba. Bapanya, Yusuf memanggil kerajaan Mesir sebagai kerajaan penuh dosa.

Masyhur sebagai pemimpin spiritual Ikhwanul Muslimin, Yusuf mendapat dukungan Aljazeera yang mana rancangannya ditonton lebih 60 juta orang di Timur Tengah membawa motivasi kepada perlawanan di Mesir dan mendorong babak seterusnya di Palestin dengan keberpihakan terhadap Hamas. 

Pandangan atau fatwa Yusuf tentang pengeboman berani mati, keharusan memukul isteri jika ringan-ringan dan memanggil Syiah sesat menggugat ime moderat beliau dalam tahun 1980an. Wajah Yusuf tiba-tiba mempatriarki dan terlihat aneh.

Apabila krisis di Syria meletup, Yusuf menjadi tenaga gejala kemazhaban atau sektarianisme yang bahang panasnya sampai ke Malaysia. 

Yusuf malah menyeru supaya ada gerakan menentang Syiah, menolak Hezbullah yang melawan Israel dan Amerika Syarikat dan pernah menyokong tindakan Amerika menyerang Syria kerana ia boleh menjatuhkan regim Assad di negara itu. Semua pada Yusuf berpaling beberapa ratus darjah.

Seruan Yusuf dalam tahun 1980-an agar bersederhana dan tidak menyerang pihak berkuasa agama nampaknya berubah apabila beliau sendiri memanggil Sheikh Ali Gomaa, Mufti Mesir sebagai jurucakap militari, atau menggelar Gomaa hamba polis dan pihak berkuasa. Seruan itu meletakkan Gomaa sendiri terancam dalam bahaya.

Perlahan-lahan imejan Yusuf yang awalnya itu adalah moderat dan tokoh penuh rasio menjadi wajah yang menggerunkan dan mendorong kepada perbalahan dan ektremisme. 

Malah dalam hal sektarianisme, hujah dan fatwa Yusuf yang terkenal itu dijadikan sandaran untuk menekan minoriti dalam Islam, kaum wanita dan penganut bukan Islam. Nama Yusuf ditonjolkan oleh mereka yang menolak hak asasi manusia.

Entah salah di mana Yusuf menjadi tokoh penuh ambiguiti di hujung usia beliau. Sudah tentu ketokohan Yusuf tidak akan dapat diganti oleh seorang tokoh Sunni yang lain. 

Tidak ada seorang ulama dari dunia Islam di Timur Tengah yang dapat menyamai magnitud almarhum.

Semoga kecuaian dan ambiguiti almarhum terpadam dan gagasan awal beliau mengenai ekstremisme dapat dipugar kembali oleh ulama Sunni generasi baharu. 

Moga-moga akan ada mereka yang mahu membawa semula gagasan kesederhanaan Yusuf yang sebetulnya wajar dilihat semula semua sudut dan penjuru.

Bukan apa, seorang alim boleh sahaja tersilap langkah menerima nasihat khususnya di usia yang terlalu renta. Hal ini misalnya terlihat pada ramai ulama termasuk yang sedia ada di Malaysia.

Salah seorang tokoh ulama yang pernah berganding bahu dengan Yusuf dalam sebuah pertubuhan ulama sejagat tidak lain tidak bukan ialah Abdul Hadi Awang. Persamaan ketara mereka tidak syak lagi adalah; apa yang kita namakan ambiguiti.

Al-Fatihah buat Yusuf, rest in peace, semoga beliau berehat dengan aman di dunia abadi. – 27 September, 2022.   

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen