Kenapa parti bukan Islam dalam Perikatan sokong PAS, soal Guan Eng


Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berbaur perkauman harus ditentang kerana ia mengancam perpaduan negara, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri parti komponen bukan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional terhadap retorik perkauman yang dimainkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Kenyataan Hadi yang berbaur perkauman harus ditentang kerana ia mengancam perpaduan negara, katanya.

“Mengapa MCA, MIC, GPS dan GRS berdiam diri dan terus menyokong PAS yang rasis dan ekstremis?

“Sehingga kini MCA, MIC, GPS mahupun GRS tidak menyatakan secara terbuka bahawa mereka menentang PAS dan cita-cita parti itu untuk menjadikan pemimpinnya sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi kini disiasat susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalangan pemimpin gabungan itu “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

Malah ramai pemimpin PH ‘tidak beriman dan tidak bermoral’ serta bersikap anti-Islam, dakwanya.

Kelmarin, Hadi berkata perpaduan umat Islam terlebih dahulu harus diutamakan, sebelum penyertaan kaum bukan Islam yang tidak ekstrem.

Semasa persidangan Muktamar Tahunan ke-68 PAS di Kedah awal bulan ini, pengarah pilihan raya parti itu Muhammad Sanusi Md Nor berkata Malaysia akan dapat ditadbir perdana menteri dari PAS dalam tempoh 28 tahun lagi.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata sasaran itu dapat dicapai jika parti Islam itu berjaya menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas kenyataan Sanusi itu, Lim berkata PAS tidak layak untuk mentadbir negara kerana ia bersikap perkauman.

Pendirian ekstremis PAS katanya hanya untuk menutup kegagalan parti itu memulihkan ekonomi negara meskipun berada dalam kerajaan.

“PAS bergantung kepada ekstremisme dan perkauman untuk menutup kegagalannya menawarkan sebarang penyelesaian bagi masalah ekonomi dan rasuah.

“Inilah sebabnya Kelantan menjadi negeri termiskin di semananjung Malaysia selepas 30 tahun PAS memerintah.

“Kerana tiada peluang ekonomi, rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri lain dan Singapura untuk mencari peluang pekerjaan; manakala Kelantan mengalami krisis pengurusan banjir, tadbir urus yang lemah serta gagal menyediakan air bersih kepada rakyat,” katanya. – 27 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen