PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan malam tadi ketika dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) itu secara terbuka dilihat mempunyai pendirian yang berbeza untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pertemuan berlangsung ketika PAS secara terbuka menyebut Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan musuh mereka pada PRU15 nanti sementara Muhyiddin berpandangan sebaliknya.
Pertemuan juga berlangsung di tengah desas-desus ada usaha untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) selepas kerjasama antara PAS dan Umno itu tergendala tidak sampai tiga tahun selepas dimeterai.
“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU15,” tulis Muhyiddin di Facebook, hari ini.
Pertemuan disertai Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan naib presidennya Mohd Radzi Jidin, sementara PAS turut diwakili naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak akan menerima tindakan mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai musuh utama.
Kenyataan beliau malam tadi adalah yang ketiga sejak 11 September mengenai Umno yang masih PAS anggap sebagai rakan kerjasama politiknya.
Pertemuan Muhyiddin dan Abdul Hadi malam tadi juga berlangsung selepas presiden PAS dilapor bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lepas, dipercayai membincangkan kerjasama mengelak dua parti Melayu itu bertembung pada PRU15.
Umno dan PAS sebelum ini memeterai kerjasama atas nama MN, yang terbentuk pada September 2019 ketika dua parti itu menjadi pembangkang selepas PRU14.
Kerjasama itu tergendala selepas PAS menyertai Bersatu untuk membentuk PN selepas percaturan politik Langkah Sheraton yang menyingkirkan Pakatan Harapan dari Putrajaya dan beberapa negeri.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN sebelum ini berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Abdul Hadi mengenai pertemuan dengan Ahmad Zahid. – 27 September, 2022.
Komen