PAS tidak terima label kumpulan Melayu Islam sebagai musuh, kata Takiyuddin


Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS dipimpin Abdul Hadi Awang bersama Bersatu dan dua parti di Sabah membentuk PN yang diterajui Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

PAS tidak akan menerima tindakan mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai musuh utama, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, ketika parti Islam itu dilihat berbeza pendirian dengan Bersatu.

Takiyuddin menegaskan pendirian PAS ini tidak sampai seminggu selepas mengulangi ketetapan parti bahawa Umno adalah rakan kerjasama politiknya dan Barisan Nasional (BN) bukan musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” kata Takiyuddin.

Kenyataan Takiyuddin menyusul ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas yang musuh gabungan itu pada PRU15 nanti ialah BN.

Muhyiddin membuat kenyataan itu empat hari selepas Takiyuddin menegaskan musuh PAS pada PRU15 ialah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya BN.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin kemudian meminta Muhyiddin lebih cermat mengeluarkan kenyataannya mengenai musuh bersama PN supaya tidak menjejaskan usaha penyatuan ummah.

“Saya lihat (Muhyiddin) kena cermat dan jangan kasar dalam mengeluarkan kenyataan. Kita kena fikir matlamat penyatuan ummah yang diperjuangkan selama ini.

“Saya lihat Umno dan Bersatu ini sudah berpatah arang namun kita akan terus berusaha menyatupadukan kedua-kedua parti itu demi penyatuan ummah,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia, pada Isnin.

Takiyuddin dalam kenyataannya malam ini menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS supaya setia dan patuh kepada arahan mursyidul am parti yang menyeru semua pihak meneruskan agenda penyatuan ummah.

PAS memeterai kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN) pada September 2019 ketika dua parti Melayu itu jadi pembangkang dan ketika PH masih kerajaan.

Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS bersama Bersatu dan dua parti di Sabah membentuk PN yang diterajui Muhyiddin.

Pimpinan tinggi Umno kemudian menegaskan MN sudah terkubur selepas PAS menolak kerjasama dengannya dalam pilihan raya negeri terutamanya di Melaka dan Johor.

Dalam dua pilihan raya negeri itu PAS bertanding atas tiket PN.

Pemimpin PAS bagaimanapun membayangkan kerjasama itu masih boleh diselamatkan. – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen