Najib kembali ke Mahkamah Tinggi, sambung bicara kes 1MDB


Noel Achariam

Najib Razak kelihatan tenang apabila tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bagi meneruskan bicara kes 1MDB selepas seminggu ditangguhkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 September, 2022.

BEKAS perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas seminggu perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhenti.

Najib nampak tenang waktu sampai di kompleks mahkamah pukul 8.45 pagi ini sambil diiringi pengawal Penjara Kajang, tempat beliau jalani hukuman penjara 12 tahun.

Minggu lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah telah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib selepas tertuduh dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada Jumaat, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) memberi lampu hijau kepada Najib untuk kembali ke penjara.

Menurut HRC, pakar perunding yang berkaitan juga mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarga terdekat, dengan mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas perdana menteri itu.

“Hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,” kata HRC.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Najib dipindahkan ke HRC kerana memerlukan fisioterapi.

Minggu lepas, media sosial heboh dengan dakwaan Najib telah diberi layanan istimewa selepas dihantar ke HRC.

Jabatan Penjara mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan Najib dihantar ke HRC.

Kenyataan itu dibuat tiga hari selepas dakwaan tersebar di media sosial yang seorang yang dipanggil “Merpati” sedang menerima layanan istimewa di penjara.

Kenyataan Jabatan Penjara itu bagaimanapun tidak menjawab beberapa dakwaan media sosial, termasuk cadangan pengubahsuaian syarat penjara untuk Najib.

Jabatan Penjara memaklumkan Najib dihantar ke HKL untuk rawatan, yang seterusnya merujuk beliau ke HRC, mengikut Seksyen 37 Akta Penjara serta piawaian minimum layanan kepada banduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen