Lupakan permusuhan Anwar-Mahathir, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad harus meneruskan dan menghasilkan dasar dan idea baharu dan bukannya memikirkan masa lalu, kata pakar politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

PERMUSUHAN antara pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad dijangka berterusan, kata pemerhati sambil menolak kemungkinan perkongsian kuasa antara kedua-duanya pemimpin itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, pakar politik berkata kedua-duanya harus meneruskan dan menghasilkan  dasar dan idea baharu dan bukannya memikirkan masa lalu.

Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail berkata pergeseran antara kedua-dua pemimpin tersebut berlarutan selama beberapa dekad dan sudah tiba masanya untuk negara bergerak maju.

“Kita harus beralih daripada Anwar dan Dr Mahathir. Kita berurusan dengan kedua-duanya sejak 1980-an sewaktu Anwar menjadi timbalan dan Mahathir adalah perdana menteri,” katanya.

“Dr M melakukan banyak kesilapan sejak 80-an, dan kebanyakan masalah bermula dengan beliau.”

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar tidak boleh dipersalahkan dalam banyak dasar kerana beliau tidak berkuasa.

Anwar adalah orang kanan Dr Mahathir tetapi pemimpin kelahiran Pulau Pinang itu dipecat pada 1998 atas dakwaan meliwat.

Anwar meninggalkan Umno untuk membentuk PKR tetapi kemudiannya dipenjarakan.

Kedua-duanya berdamai pada 2018 sejurus sebelum pilihan raya umum, ketika Dr Mahathir mengetuai bekas partinya Bersatu.

Pakatan Harapan memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri selepas memenangi pilihan raya, dengan syarat beliau memberi laluan kepada Anwar selepas dua tahun.

Dr Mahathir ketika ini mengasaskan Pejuang.

Tiada pendamaian

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata adalah jelas PKR dan Pejuang tidak akan bekerjasama.

“Sudah pasti tiada persefahaman, tiada kerjasama antara kedua-dua parti untuk pilihan raya,” katanya.

“Mereka tidak akan berdamai kerana masing-masing ada pendapat sendiri. PKR dan Pejuang harus terus maju dan mereka tidak seharusnya membiarkan sejarah berulang.”

Jumaat lalu, Anwar berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan reformasi apabila ia berkuasa kerana ketika itu dipimpin seorang pemimpin “bukan reformis”.

Beliau berkata Dr Mahathir, dalam tempoh kedua sebagai perdana menteri, kembali kepada politik perkauman yang bertentangan dengan agenda PH yang berbilang kaum.

“Kita (PH) memang buat beberapa langkah, reformasi, tapi separuh hati kerana pemimpin kononnya kerajaan reformasi ini bukan reformis.

“Beliau tidak percaya kepada pembaharuan,” kata Anwar pada sidang media di Kelab Wartawan Asing Thailand, di Bangkok.

Mengulas kenyataan Anwar, Ketua Penerangan Pejuang Ulya Uqamah Husamudin berkata sepanjang 22 bulan memerintah, gabungan itu berjaya menunaikan 53 janji dalam manifestonya.

Beliau berkata menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng pada Disember 2019 menyatakan PH menunaikan 60% daripada ikrar pilihan rayanya.

Beberapa janji, kata Ulya, terpaksa ditangguhkan kerana kedudukan fiskal negara yang lemah dan cabaran ekonomi yang diakui presiden PKR itu.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata pemimpin politik mesti mengutamakan rakyat.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil, ekonomi mampan dan pekerjaan untuk semua orang.

“Kemukakan manifesto yang lebih baik berbanding menyalahkan satu sama lain. Tiada yang positif boleh datang daripada itu.” – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen