Penganalisis ramal pakatan baharu parti Sarawak berpecah sebelum PRU15


Desmond Davidson

Pensyarah, James Chin dan Awang Azman berpendapat Parti Sarawak Bersatu serta Parti Bumi Kenyalang mempunyai falsafah politik berbeza yang pasti akan menyukarkan mereka untuk berkerjasama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

PAKATAN baharu antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk menjalinkan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diramal berpecah sebelum pengundian, kata penganalisis.

Mereka berpendapat kedua-dua parti itu mempunyai falsafah politik berbeza yang pasti akan menyukarkan untuk berkerjasama.

Sebelum pilihan raya umum 2018, PSB dijenamakan sebagai parti mesra Barisan Nasional, percaya kepada Malaysia tetapi perlu mengembalikan semua hak negeri yang terhakis.

Sementara itu, falsafah PBK adalah sebaliknya – membuang Malaysia untuk membentuk Sarawak sebagai sebuah negara merdeka.

“Ia akan dirobek oleh penyokong mereka tidak lama lagi,” kata pensyarah Universiti Tasmania, James Chin merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) pada 19 September lalu yang ditandatangani kedua-dua parti itu untuk mengelak bertanding sesama sendiri dan sekali gus memecahbelahkan undi di kalangan pembangkang.

Bagaimanapun, nada pensyarah Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi sedikit lembut berbanding Chin.

Awang Azman berpandangan, gabungan itu tidak mungkin tumbang dalam masa terdekat namun beliau tidak percaya ia akan bertahan untuk tempoh yang panjang.

MoU yang ditandatangani kedua-dua parti pada 19 September lalu menimbulkan kemarahan apabila PSB dijangka cuba menjalin perjanjian bersama DAP yang lebih kuat.

Bagaimanapun, rundingan itu gagal apabila DAP tidak berganjak atas tuntutan mereka melepaskan beberapa kerusi majoriti Cina – Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Sarikei.

Chin berkata MoU PSB – PBK “tidak berbaloi dengan kertas yang ditandatangani” dan ia akan dirobek penyokong kedua-dua parti tidak lama lagi.

Katanya, percanggahan falsafah politik mereka bukan satu-satunya sebab.

“Hakikatnya penyokong kedua-dua parti percaya mereka mempunyai sokongan yang cukup untuk menang.

“Jadi walaupun pimpinan berpendapat adalah logik untuk bersatu dan tidak memecahbelahkan undi, kebanyakan penyokong mereka, khususnya PBK, tidak berfikir begitu.”

Sambil menyifatkan penyokong PBK sebagai “meriam yang sangat bebas”, Chin berkata kebanyakannya tidak akan mematuhi perjanjian ini.

Chin berkata beliau melihat MoU ini lebih kepada perkahwinan sementara sehingga pilihan raya diadakan.

“Antara sekarang dan pilihan raya, mereka sedang berbulan madu.”

Beliau berkata, namun sebaik sahaja pilihan raya diadakan dan tiba masanya untuk menamakan calon, mereka membuat keputusan lain.

Katanya, ketika itulah masalah antara mereka akan bermula.

Awang Azman berkata beliau melihat MoU itu lebih kepada “perkahwinan paksa”.

“Mereka tidur bersama tetapi mempunyai mimpi yang berbeza.”

Awang Azman berkata perbezaan asas menghalang kerjasama jangka panjang.

Beliau berkata berdasarkan prestasi PSB dan PBK pada pilihan raya negeri Disember lalu, MoU itu tidak mungkin menimbulkan sebarang ancaman kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi sudah tentu akan mengambil undi berharga daripada DAP.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata secara keseluruhannya “perkahwinan paksa” tidak mungkin mengancam DAP di enam kerusi majoriti Cina yang mereka pegang – Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Sarikei.

“DAP adalah parti yang ditubuhkan. Mereka sudah lama wujud,” katanya sambil menyifatkan pakatan kedua-dua PSB dan PBK wujud baru-baru ini.

PSB ditubuhkan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dipecat, salah satu parti komponen dalam GPS, pada 2014 manakala PBK ditubuhkan pada 2013.

Awang Azman juga berkata tidak dinafikan DAP mempunyai sokongan yang sukar untuk dipadankan oleh PSB dan PBK.

Presiden PSB Wong Soon Koh berkata beliau berharap dalam MoU itu, rakyat Sarawak akan memberikan sokongan penuh kepada kedua-dua parti berasaskan tempatan itu “untuk menuntut semula semua hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk rakyat Sarawak”.

Setiausaha Agung PBK, Priscilla Lau berkata MoU itu dimeterai kerana PSB dan PBK “sudah mendengar suara pengundi”. – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen