Anwar tak takut pertahan kerusi Port Dickson majoriti Melayu


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi PH Anwar Ibrahim menempelak Rashid Hasnon yang dihantar bertanding di Batu Pahat berikutan prestasi buruknya sebagai Adun Pantai Jerejak di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim membidas bekas rakan parti Mohd Rashid Hasnon kerana mendakwa beliau takut mempertahankan kerusi Port Dickson yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Anwar menjawab dakwaan exco Perikatan Nasional Johor beliau akan melepaskan kerusi Port Dickson dan bertanding di Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menempelak Rashid dengan berkata, beliau dihantar bertanding di Batu Pahat berikutan prestasi buruknya sebagai Adun Pantai Jerejak di Pulau Pinang.

“Beliau dihantar ke Johor (Batu Pahat) kerana prestasi buruknya di Pulau Pinang.

“Beliau mendakwa saya mahu bertanding di Ampang. Siapa di Ampang? Zuraida Kamaruddin. Walaupun beliau mahu mempertahankannya (Zuraida), ini bukan caranya. Zuraida berada di Ampang dan beliau berbangsa Melayu.

“Saya mengetuai parti majoriti Melayu dengan ahli berbilang kaum. Saya tidak pernah kata saya hanya membela orang Melayu seperti Umno dan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sayap wanita PKR.

Semalam, Rashid berkata, berita Anwar bertanding di Ampang membuktikan bekas timbalan perdana menteri itu tidak yakin untuk mengekalkan kerusi majoriti Melayu di Port Dickson.

Beliau mempersoalkan Anwar kerana mahu bertanding di Ampang, kawasan campuran dengan 51% pengundi Melayu dan 32% pengundi Cina.

“Anwar sebagai calon perdana menteri PH takut kalah di kerusi majoriti Melayu. Beliau tidak yakin dapat meraih undi daripada orang Melayu. Beliau kini mahukan Ampang.

“Kenapa beliau tidak mahu bertanding di kawasan Melayu? Ini kerana beliau tahu orang Melayu tidak lagi percaya kepada PH,” katanya.

Rashid adalah bekas ahli PKR dan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang I.

Beliau menyertai Bersatu bersama beberapa ahli Parlimen PKR, termasuk Mohamed Azmin Ali susulan Langkah Sheraton pada 2020, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH. – 25 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen