8 bekas pekerja stesen minyak hadapi 45 dakwaan salah guna kad inden PDRM


LAPAN bekas pembantu pam stesen minyak di daerah Kemaman, Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Chukai hari ini atas 45 pertuduhan menyalahgunakan kad inden milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) lima tahun lalu.

Kad inden adalah kad elektronik yang digunakan untuk membuat transaksi bekalan bahan api kenderaan bagi ambulans, kereta jenazah, kereta peronda polis dan seumpamanya.

Mohamad Amirul Izzat Mohamad, Md Nazrul Khusairi Mohamad Ros, Muhamad Ikhwan Ruslan, Muhamad Aidil Mohd Kamal, Muhamad Khairi Fakhri Abd Karim, Khairul Fadhli Bahar, Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan, yang berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mereka didakwa menggunakan kad inden bernilai antara RM50 hingga RM830 pada Oktober hingga Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tengku Eliana membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM5,500 hingga RM30,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen