Pakatan bukan pembuli, kata Loke


Alfian Z.M. Tahir

Ikut nasihat Allahyarham Ustaz Fadzil Noor dulu, jangan tamak dalam menuntut, jangan kedekut dalam memberi, kata Anthony Loke. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook memberitahu parti Pakatan Harapan supaya tidak kedekut ketika rundingan kerusi serta mengingatkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya tidak tamak menuntut kerusi.

Bercakap pada Kongres Khas DAP pagi tadi, Loke mengimbau semula kisah bagaimana DAP dan PAS berunding dengan PKR untuk pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Dalam rundingan itu, DAP diwakili mendiang Kerk Kim Hock (ketika itu setiausaha agung DAP) dan PAS diwakili Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (presiden PAS ketika itu).

“Kita semua tahu betapa susahnya hendak berunding dengan Kerk tetapi Ustaz Fadzil dengan kebijaksanaannya membuat kenyataan menarik.

“Bekas presiden PAS itu berkata, kita jangan tamak dalam menuntut dan kita juga jangan kedekut bila memberi.

“Ia kata-kata sangat bijak dan akhirnya kita berjaya mencari jalan penyelesaian untuk rundingan kerusi,” kata Loke.

Loke mengulas isu hasrat Muda menyertai PH dan bantahan dihadapinya daripada PKR.

Tambah Loke lagi, PH bukan pembuli dan perlunya gabungan politik itu untuk terus bersatu.

“Ini nasihat saya kepada orang muda-muda. Tolong dengar baik-baik, saya bukan kata hanya untuk ahli Muda.

“Dalam PH, tidak sepatutnya wujud sebarang kelakuan buli antara satu sama lain. Kita hormat sesama kita, tak kisah umur.

“PH bukan pembuli. Kita mahu PH untuk jadi kuat dan masuk pilihan raya sebagai satu pasukan,” katanya. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen