Melayu perlu kembali menjadi Melayu


“MENGAPA Tun masih nak perjuangkan Melayu? Adakah Melayu lebih penting dari Islam?”

Begitulah kurang lebih soalan yang dilontarkan salah seorang hadirin kepada Dr Mahathir Mohamad dalam satu sesi dialog.

Untuk saya, soalan ini bukan soalan provokatif atau soalan bodoh. Sebaliknya ia satu soalan daripada banyak persoalan yang besar daripada sebuah naratif sejarah yang cukup panjang dalam alam Melayu. Mungkin yang bertanya itu juga tak sedar tentang betapa dalamnya soalan itu.

Dalam konteks perlembagaan Malaysia, Melayu ditakrif berdasarkan warna kulit (rupa bentuk), budaya (bahasa, makanan, adat istiadat) dan beragama Islam sebagai amalan dan cara hidup. Jika seseorang itu melengkapi elemen ini dalam kehidupannya, maka dia Melayu.

Sebelum ini, saya menolak takrifan itu kerana saya percaya Melayu sebagai satu bangsa, hanyalah sebutir zarah kecil daripada juzuk kehidupan yang lebih luas, malah agama juga tidak meletakkan bangsa suatu yang lebih tinggi dari beragama.

Dalam pengembaraan pengetahuan, saya menemui beberapa kisah yang telah menggugat kepercayaan yang selama ini saya pegang tentang Melayu dan tanah air.

Ketika Musa yang memimpin kaum Yahudi keluar dari Mesir, Tuhan memerintahkan rasul-Nya itu untuk membawa kaumnya yang ditindas Firaun ke satu tanah yang hari ini kita kenal sebagai Palestin.

Bukan sirah Musa, kaum Yahudi dan tanah Palestin yang ingin saya bincangkan di sini sebaliknya persoalan yang ingin saya angkat ialah mengapa Tuhan memerintahkan Musa membawa kaum Yahudi pergi mendapatkan sebuah tanah untuk membina kehidupan mereka di sana. Apa kaitan tanah dengan bangsa?

Logik bagi kita, bumi Tuhan ini luas untuk manusia, apatah lagi ketika zaman Musa itu, belum ada sempadan sesebuah negara seperti hari ini. Bangsa Yahudi atau bangsa apa pun, boleh tinggal di mana-mana pelusuk muka bumi ini tanpa perlu berperang atau bergaduh untuk mempertahankannya.

Tetapi, tidak begitu. Perintah Tuhan ke atas Musa dan kaumnya pasti ada sebab, dan sebab ini boleh membantu memberi gambaran tentang persoalan tanah air dan Melayu.

Tanah air

Kajian sarjana mengenai hubung kait antara sesuatu bangsa dengan tanah air menggariskan beberapa faktor antaranya; hubungan spiritual sesuatu bangsa dengan tanah sebagai sumber kehidupan serta budaya mereka, dan yang kedua mengenai kewujudan ikatan sosial yang bersifat alami tentang keinginan seseorang untuk tinggal bersama komunitinya (bangsa/kaumnya).

Sebagai contoh, jika hari ini kita diberi pilihan untuk membeli sebuah rumah kediaman, pastinya kita akan memilih berdasarkan pelbagai faktor, antara yang utama ialah komuniti (bangsa) yang tinggal di situ, barulah persoalan saiz rumah, harga atau reka bentuknya difikirkan.

Jarang orang Melayu mahu memilih rumah di kawasan majoriti bangsa asing, begitulah sebaliknya bagi bangsa lain. Jika ada yang berbeza dari kebiasaan ini, nisbahnya tidaklah besar.

Barangkali inilah gambaran mengapa Musa diperintahkan agar membawa kaum Yahudi untuk mengambil sebuah tanah untuk dijadikan tanah air bagi mereka. Faktor yang dinyatakan ini juga menunjukkan mengapa hubungan sesuatu bangsa dan tanah air itu terikat.

Sejarah perjalanan dan kehidupan tamadun di Nusantara ini juga menjadi faktor mengapa semenanjung tanah Melayu adalah tanah air bagi bangsa ini.

Keterikatan antara tanah air dengan Melayu itu mempunyai persamaan dengan persoalan Melayu dan Islam. Sejak Islamnya manusia nusantara, agama ini menjadi cara hidup bagi orang Melayu. Cara hidup ini dipakai sejak anak itu lahir hinggalah menutup matanya.

Dan, ikatan inilah yang diungkap oleh perlembagaan Malaysia tentang siapa dia Melayu.

Menjadi Melayu

Dr Mahathir memberikan jawapan yang selari dengan takrifan Melayu dalam konteks Perlembagaan Persekutuan “perjuangan untuk kebaikan bangsa Melayu juga adalah perjuangan untuk kebaikan Islam”.

Namun, muncul pula persoalan kedua iaitu Melayu apa atau jenis apa yang ingin diperjuangkan (dibela)?

Adakah yang ingin diperjuangkan itu Melayu berdasarkan etnik? Melayu profesional? Melayu cerdik? Melayu yang islamik? Melayu yang makan sambal belacan? Atau, Melayu apa?

Dalam konteks ini, yang hendak diperjuangkan ialah Melayu yang ada harga diri (bermaruah) atau Melayu yang berwibawa. Melayu yang bermaruah atau berwibawa ini bermaksud Melayu yang amanah pada kuasa.

Melayu yang amanah (berintegriti) juga adalah Melayu yang menolak amalan buruk seperti makan rasuah, meminta-minta, culas menjalankan amanah dan mereka yang suka memperbodoh-bodohkan bangsanya.

Melayu perlu kembali menjadi Melayu – yang mempunyai harga diri, amanah dan adil dalam menjalankan tugas untuk seluruh rakyat. Kerana, ini jugalah tuntutan dalam Islam. – 25 September, 2022.

* Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen