Mimpi aneh tunjuk lokasi nahas helikopter, kata bekas menteri Sarawak


Desmond Davidson

Helikopter Bell Jet Ranger milik syarikat Hornbill Skyways Bell Jet Ranger terhempas pada 12 Julai, 2004 dalam perjalanan dari Bario ke Ba Kelalan, menyebabkan tujuh maut. – Gambar fail, 25 September, 2022.

BEKAS timbalan ketua menteri Sarawak Dr George Chan akhirnya bercerita tentang “mimpi pelik” dialaminya susulan nahas helikopter pada 2004 yang mengorbankan tujuh nyawa termasuk seorang menteri muda.

Selama 18 tahun, beliau tidak memberitahu sesiapa pun berkenaan mimpi itu kerana takut diejek.

“Saya mengalami mimpi yang aneh. Tiga lelaki alim, seorang Muslim, seorang Buddha dan seorang lagi Kristian, beritahu saya di mana bangkai helikopter itu boleh ditemui,” katanya pada majlis ulang tahunnya ke-86 di Petra Jaya, Kuching, baru-baru ini.

“Mereka malah ada peta dilukiskan dan ditunjukkan kepada saya tempat di mana helikopter itu terhempas.”

Katanya, mimpi itu dialami pada hari kedua selepas diarahkan ketua menteri pada masa itu Abdul Taib Mahmud untuk membantu dalam operasi mencari helikopter berkenaan.

“Namun, mereka kata saya akan hanya dapat jumpa bangkai itu pada hari ke-16 ia terhempas,” kata Chan.

“Saya ini seorang doktor dan saya buat sesuatu berdasarkan kepada fakta saintifik. Bagaimana nanti reaksi rakan dalam Kabinet, kawan saya dan masyarakat umum jika saya cerita tentang mimipi itu?,” katanya.

Chan berkata lokasi di mana tiga lelaki itu beritahu tempat helikopter terhempas, tidak dilaporkan sebagai laluan penerbangan.

“Lokasi itu terlalu jauh ke kiri daripada laluan penerbangan. Ia bukan laluan yang kebiasaannya diambil juruterbang untuk ke Ba Kelalan dari Bario.

“Itu buat saya risau juga. Itu sebabnya saya tidak beritahu sesiapa hinggalah sekarang.”

Juruterbang helikopter malang jenis Bell Jet Ranger milik Hornbill Skyways yang terhempas di tepi gunung pada 12 Julai, 2004 itu, memaklumkan kepada menara kawalan beliau akan melakukan penerbangan dari penempatan tanah tinggi Baram di Bario ke satu lagi penempatan, Ba Kelalan, di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Menteri muda Dr Judson Tagal dan rombongannya terbunuh dalam nahas itu.

Chan berkata beliau mengarahkan operasi mencari dari udara dan darat ke kawasan digambarkan dalam mimpinya itu.

“Saya hantar banyak pesawat ke kawasan itu. Pasukan lain turut mencari dari darat.

“Tiada ada apa yang ditemui.

“Kami guna semua peralatan berteknologi tinggi yang ada pada masa itu,” kata Chan, merujuk kepada peralatan imbasan udara yang dipasang di helikopter. – 25 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen