Singapura pulangkan 'kopi perisa durian' kepada pengimport


Produk kopi perisa durian Coffee Tree Mycafe 4-In-1 Penang Durian White Coffee lulus ujian yang dijalankan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan sebarang bahan tercemar. – Gambar Facebook, 28 Februari, 2018.

AGRI-FOOD & Veterinary Authority of Singapore (AVA) hari ini memulangkan kopi perisa durian “Coffee Tree Mycafe 4-In-1 Penang Durian White Coffee” kepada pengimportnya kerana semua sampel yang diambil, lulus ujian yang dijalankan.

AVA sebelum itu menarik balik produknya itu pada 3 Februari sebagai langkah pencegahan berikutan laporan beberapa pengguna di Pulau Pinang dimasukkan ke hospital selepas meminum kopi itu.

“Kami mengambil sampel produk yang ditarik balik untuk ujian keselamatan makanan dan kesemua sampel itu lulus ujian kami,” katanya dalam status terbaru laman Facebooknya.

AVA berkata ia juga sudah membuat tindakan susulan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai kes ini.

“Pihak berkuasa Malaysia memaklumkan kepada produk yang dikaitkan dengan insiden di Pulau Pinang itu didapati dicemari dan tiada bukti menunjukkan produk utama yang tercemar.

“AVA oleh itu melepaskan produk ini kepada pengimportnya hari ini,” katanya. – 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen