GTA akan tubuh kerajaan berbilang kaum, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Hak orang Melayu tidak akan dipinggirkan apabila GTA berjaya menawan Putrajaya dan menubuhkan kerajaan pelbagai kaum, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar tangkap layar video Facebook, 24 September, 2022.

GERAKAN Tanah Air (GTA) akan mewujudkan pentadbiran pelbagai kaum jika berjaya mengambil alih Putrajaya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Hak orang bukan Melayu tidak akan diketepikan, kata bekas perdana menteri dua kali.

“Kita akan masukkan kaum lain dalam kerajaan. Kerajaan Melayu akan menguntungkan bukan Melayu,” katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa ramai orang mahu menyokong gabungan gerakannya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian menjawab soalan tentang bagaimana GTA akan menambat pengundi bukan Melayu dan menarik golongan atas pagar.

Pada 4 Ogos, Dr Mahathir menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) terdiri daripada Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia and Parti Perikatan India Muslim Nasional.

Beliau sebelum ini berkata, GTA akan bertanding di 120 kerusi Parlimen di Semenanjung, yang mana majoriti pengundinya adalah Melayu dan tempat Umno bertanding.

Berhubung golongan atas pagar, Dr Mahathir berkata GTA perlu menjelaskan kepada pengundi tentang gerakan mereka.

“Kita tidak tolak orang bukan Melayu. Tidak, kita akan bentuk kerajaan berbilang kaum.

“Kita akan bentuk kerajaan dengan semua parti dan kaum lain. Kita mahu kerajaan inklusif yang mewakili semua kaum.”

Dr Mahathir berkata GTA ditubuhkan untuk menyasarkan pengundi Melayu dan Islam yang sudah muak dengan jenama politik Umno.

Beliau juga berkata ratusan kumpulan masyarakat sivil, profesional dan ahli akademik Melayu akan menyertainya.

“Ini gerakan kita, kita jemput orang Melayu bukan kerana perkauman, tidak… tetapi usaha kita tertumpu melawan parti Melayu sesat iaitu Umno,” katanya. – 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen