Muhyiddin mahu jumpa Hadi


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mahukan penjelasan PAS mengenai dakwaan mereka ingin mewujudkan semula Muafakat Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 September, 2022.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mahu mengadakan pertemuan bersama rakan komponen parti itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang susulan laporan mendakwa pemimpin PAS itu bertemu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu.

Presiden Bersatu itu berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan parti Islam berkenaan dakwaan mereka cuba menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori bersama Umno.

“Saya baca kenyataan itu, saya juga nak tahu apa berlaku, saya perlu dapatkan pencerahan bila saya bertemu Hadi, Isnin atau Selasa.

“Saya akan tetapkan tarikh dan kita akan bincangkan banyak isu yang penting, sudah tentu dapatkan pencerahan beliau betulkah ada perbincangan itu, apa hasil perbincangan itu.

“Adakah Umno setuju namun apakah kedudukan PN dalam rundingan itu, buat masa ini saya akan tunggu peluang bertemu Hadi minggu hadapan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sambutan ulangtahun keenam Bersatu di Putrajaya, hari ini.

Media melaporkan, pertemuan bagi menghidupkan MN itu bagi mengelakkan pertembungan antara dua parti Melayu itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan perbincangan juga dikatakan bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dijadual berlangsung pada 30 September ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan pintu terbuka untuk Umno menjadi rakan kerjasama mereka dalam PRU15.

Parti Islam itu juga katanya mensasarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh politik utama mereka dan bukannya Barisan Nasional (BN).

Malah beliau berkata, PAS tidak bersetuju sama sekali dengan pendirian yang menjadikan BN sebagai musuh mereka.

Umno dan PAS memeterai piagam MN pada 14 September 2019 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dalam program Himpunan Penyatuan Ummah.

Ia selepas BN tewas pada PRU14 dan kerajaan diambil alih PH, termasuk Bersatu yang ketika itu sebahagian komponen mereka.

Hubungan itu kemudiannya retak selepas PAS bertindak menjadi pengasas dan menubuhkan PN bersama Bersatu. – 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen