POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan di depan sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur hari ini, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya.
Beliau berkata, beberapa individu sudah dikenal pasti dan mereka yang terbabit akan dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Katanya, kira-kira 50 orang termasuk mahasiswa dan ahli parti politik didapati menyertai perhimpunan itu.
Tinjauan mendapati peserta perhimpunan mula berkumpul di lokasi berkenaan sejak jam 3.30 petang dan bersurai kira-kira jam 4.45 petang namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Antara yang dilihat menyertai perhimpunan itu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang juga ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How dan Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz. – Bernama, 24 September, 2022.
Komen