35 maut protes kematian gadis di Iran, kata kerajaan


Kematian gadis Kurdish 22 tahun dalam tahanan polis Iran telah membangkitkan kemarahan bukan sahaja di republik Islam itu, malah rakyat dunia turut membuat bantahan terhadap Tehran. – Gambar AFP, 24 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 35 nyawa terkorban dalam tempoh lebih seminggu protes di Iran yang diadakan berikutan kematian seorang gadis dalam tahanan polis, lapor media kerajaan.

“Jumlah orang yang maut dalam rusuhan baru-baru ini meningkat kepada 35 orang,” kata agensi berita Borna, yang berkait dengan kementerian sukan, pada Jumaat, memetik televisyen negara.

Angka rasmi sebelum ini berjumlah 17 orang, termasuk lima anggota keselamatan.

Penunjuk perasaan turun ke jalan raya di bandar-bandar utama di seluruh Iran, termasuk Tehran, sejak lapan malam berturut-turut selepas kematian Mahsa Amini.

Wanita Kurdish berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia tiga hari selepas ditangkap di Tehran kerana memakai tudung hijab dengan cara yang “tidak wajar”.

Beribu-ribu orang berarak di Teheran semasa perhimpunan pro-hijab pada Jumaat, memberi penghormatan kepada pasukan keselamatan yang telah bertindak untuk menyuraikan protes.

Demonstrasi menyokong pasukan keselamatan turut diadakan di beberapa bandar di seluruh negara termasuk Ahvaz, Isfahan, Qom dan Tabriz.

Amini koma tiga hari sebelum meninggal dunia selepas ditahan polis moral Iran, sebuah unit yang bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan ketat pakaian wanita di republik Islam itu.

Aktivis berkata gadis itu mengalami pukulan di kepala dalam tahanan namun ianya masih belum disahkan oleh pihak berkuasa Iran, yang telah membuka siasatan.

Pada malam Jumaat, Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi berkata Amini tidak dipukul.

“Laporan daripada badan pengawasan diterima, saksi ditemu bual, video disemak, pendapat forensik diperoleh dan didapati tiada pukulan,” kata Vahidi dipetik media Iran.

Menteri itu menyatakan kerajaan sedang menyiasat punca kematian Amini, menambah “kita perlu tunggu pendapat akhir pemeriksa perubatan, yang mengambil masa”.

Vahidi mengkritik “mereka yang bertanggungjawab… menghasut keganasan dan mengikuti Amerika Syarikat, negara Eropah dan kumpulan anti-revolusioner”. – AFP, 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen