Percutian dalam negara masih tinggi, kata Tourism Malaysia


Menerusi jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia di beberapa lokasi, Tourism Malaysia mendapat maklum balas positif daripada pempamer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

PERCUTIAN dalam negara masih menerima permintaan tinggi di sebalik trend orang ramai dikatakan memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata menerusi jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia yang dilaksanakan di beberapa lokasi, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pempamer.

“Selepas kerajaan memberi kelonggaran, kami dapati permintaan terhadap pelancongan domestik semakin tinggi, khasnya semasa cuti sekolah dan cuti am.

“Hari ini kami bawa pempamer yang menawarkan pakej menarik dan harga berpatutan. Kami dapati setiap kali promosi sambutan diterima memang amat baik kerana pakej yang ditawarkan menarik dan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata menerusi penganjuran jerayawara itu, Tourism Malaysia berharap dapat meningkatkan semula permintaan terhadap sektor pelancongan domestik negara, selain menjana ekonomi menerusi pelancongan.

Jerayawara selama tiga hari bermula semalam hingga esok, bertujuan meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Seramai 24 penggiat industri mengambil bahagian dalam program jerayawara berkenaan, bagi menawarkan pakej percutian, tambang dan tiket masuk pada harga menarik membabitkan pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel, taman tema dan syarikat pengangkutan. – Bernama, 24 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen