Bahasa kasar Nazri perlekeh semangat BN, kata MCA


Ini bukan kali pertama Nazri Aziz menghina pemimpin dan parti BN, kata Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018.

BAHASA kasar digunakan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz terhadap tokoh perniagaan terkenal Malaysia Robert Kuok dan Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan menunjukkan beliau memperlekehkan semangat Barisan Nasional (BN), kata Pemuda MCA.

Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting dalam satu kenyataan hari ini mengatakan kelakukan angkuh Nazri menggambarkan “salah asuhan”.

“Kenyataannya menyerang Ka Chuan sebagai ‘orang tak pandai buat kenyataan bodoh’ kerana dia sedar yang dia tak layak untuk tarik balik kerakyatan Robert Kuok.

“Kami percaya mereka yang boleh berfikir secara logik dan rasional akan mampu memahami niat sebenar kenyataan Ka Chuan, tetapi nampaknya menteri kebudayaan dan pelancongan berbeza dengan orang biasa yang rasional,” kata Nicole.

Katanya juga, Nazri juga kelihatan mesra dengan pembangkang kerana beberapa kali dilihat berbual mesra dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Seolah-olah Nazri adalah ahli nombor satu DAP,” katanya menambah yang ini bukan kali pertama Nazri secara terbuka menghina pemimpin dan ahli BN. – 28 Februari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen