Satu lagi kes mahkamah menanti Zahid


Ravin Palanisamy

Ahmad Zahid Hamidi dibebas dan dilepaskan dari 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek sistem VLN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 September, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mungkin membebaskan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 40 pertuduhan rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN) awal hari ini tetapi presiden Umno itu masih mempunyai 47 pertuduhan daripada satu lagi kes jenayah yang sedang berjalan.

Perbicaraan bagi 47 pertuduhan itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membabitkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Dua belas daripada pertuduhan itu berhubung pecah amanah jenayah membabitkan lebih RM31 juta dana YAB, 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dan lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM21.25 juta.

Perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019, sedang didengar oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik.

Raja Rozela dan Hisyam masing-masing mewakili kerajaan dan tertuduh dalam kes VLN membabitkan Zahid.

Seramai 99 saksi pendakwaan setakat ini sudah memberi keterangan dalam perbicaraan YAB.

Penghujahan pada akhir kes pendakwaan bermula pada September tahun lalu, dan mengambil masa 24 hari sebelum selesai pada 6 Disember.

Pada 24 Januari, Mahkamah Tinggi memerintahkan pengerusi Barisan Nasional itu membela diri bagi kesemua 47 pertuduhan.

Hakim Sequerah ketika menyampaikan keputusannya, berkata beliau mendapati kes prima facie terhadap Zahid bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Tiga pilihan diberikan kepada Zahid - memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, yang membolehkan beliau disoal balas oleh pendakwa; memberikan keterangan tidak bersumpah dari kandang saksi, di mana beliau tidak boleh disoal balas; atau memilih untuk berdiam diri.

Hisyam memberitahu mahkamah yang tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pasukan peguam Zahid pada mulanya memberitahu mahkamah mereka akan memanggil 43 saksi pembelaan, sebelum mengurangkannya kepada 40, tidak termasuk tertuduh.

Pada 13 April, Zahid mengambil keterangan di hadapan saksi. Pada 30 Ogos, selepas 17 hari perbicaraan, Zahid selesai memberi keterangan.

Pada masa ini, pihak pendakwaan memohon untuk menolak saksi pembelaan dalam perbicaraan itu, yang kenyataannya di mahkamah dikatakan berbeza dengan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Raja Rozela membuat permohonan itu ketika menyoal balas kontraktor Jefri Jamil, saksi pembelaan ketiga dalam perbicaraan Zahid.

Jefri adalah saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan apabila Zahid diperintahkan membela diri.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menolak saksi dan menetapkan 31 Oktober bagi prosiding pendakwaan.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada kesemua 40 pertuduhan rasuah membabitkan VLN.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau juga didakwa dengan tujuh pertuduhan lain iaitu  memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Hakim Yazid Mustafa memutuskan pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Menurut hakim, saksi yang memberi keterangan terhadap ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak boleh dipercayai dan keterangan mereka tidak boleh dipercayai.

Beliau juga berkata tiada bukti mencukupi untuk membuktikan Zahid menerima wang seperti dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Yazid berkata pihak pendakwaan gagal mendapatkan sebarang rakaman kamera litar dekat (CCTV) yang menunjukkan wang tunai dihantar ke kediaman Zahid. – 23 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen