Menjelang PRU14, generasi kedua Felda tuntut lantikan senator, hak milik tanah kekal


Amin Iskandar

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi, Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda menuntut Putrajaya melantik senator dalam kalangan peneroka dan hak milik tanah kekal bagi peneroka Felda.

Dalam mesyuarat di Felda Sungai Tengi di Selangor pada Ahad yang dihadiri ahli jawatankuasa Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda dari seluruh negara, mereka bersetuju untuk menghantar satu memorandum tujuh perkara kepada Perdana Menteri Najib Razak dalam jangka masa terdekat.

“Kita mencadangkan kepada kerajaan agar ketua peneroka kebangsaan dilantik sebagai senator sebagai mewakili suara warga peneroka Felda atas dasar peneroka Felda adalah antara penyumbang utama hasil negara,” kata Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda Zulkefli Nordin kepada The Malaysian Insight.

“Sebagai menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin terhadap masa depan peneroka Felda, maka Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda juga mencadangkan kepada perdana menteri agar status tanah peneroka ditukar menjadi hak milik kekal.”

Mengikut Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967, status tanah peneroka Felda ialah pajakan selama 99 tahun.

Zulkefli berkata, memorandum yang bakal dihantar kepada Najib itu juga akan turut mendesak Felda melakukan penambahbaikan terhadap urus tadbir ladang.

“Kita juga mahu sistem penyata hutang peneroka yang lebih telus dan mudah difahami oleh peneroka Felda serta isu lambakan hutang peneroka Felda diselesaikan.

“Kerajaan juga harus melihat kepada isu penetapan kadar perahan buah sawit peneroka,” katanya.

Menurut Zulkefli, Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda menuntut peluang yang lebih luas kepada generasi kedua Felda untuk dilibatkan di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di tanah rancangan Felda.

“Kita juga mahu Putrajaya mewujudkan Universiti Felda bagi melahirkan golongan terpelajar dari kalangan anak-anak peneroka Felda dan kakitangan Felda yang mempunyai ‘roh Felda’,” katanya.

Menurut Zulkefli, memorandum ini dihantar untuk memastikan Putrajaya memberikan perhatian khas demi masa depan peneroka dan generasi kedua Felda.

“Mesyuarat juga berpandangan kerajaan yang sedia ada perlu memastikan amanah yang telah diberi oleh pengundi- pengundi di kawasan Felda perlu dilaksanakan.

“Kami berpandangan hanya dengan campur tangan kerajaan yang sedia ada sahaja, segala isu yang berbangkit berkaitan permasaalahan peneroka Felda boleh diselesaikan,” katanya.

Sebanyak 51 kerusi Parlimen di Semenanjung mengandungi kawasan Felda yang mana sejak sekian lama merupakan deposit tetap kepada Barisan Nasional (BN).

Menyedari kepentingan undi peneroka, Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab menggempur Felda untuk Pakatan Harapan (PH) apabila bertanding di 27 kerusi. 

PKR pula akan bertanding di 13 kerusi, Amanah lapan, dan DAP lima kerusi. – 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • jika bukan kerana PRU pun kerajaan sentiasa menjaga kebajikan warga Felda. Contohnya enam insentif untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan