Tak perlu siasat lagi isu RM90 juta dari 1MDB, kata Tuan Ibrahim


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata SPRM tidak perlu lagi menyiasat PAS berhubung tuduhan parti itu menerima dana RM90 juta dari skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

AGENSI antirasuah tidak perlu lagi menyiasat PAS berhubung tuduhan parti itu menerima dana RM90 juta dari skandal 1MDB, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Februari 2019 mengesahkan PAS tidak bersalah kerana tiada dana 1MDB dengan jumlah itu masuk ke akaun PAS.

“SPRM dah keluar kenyataan bahawa akaun PAS tidak ada pun penerimaan RM90 juta seperti didakwa jadi SPRM tak perlu nak siasat, dah siap siasat pun.

“PAS dah dipanggil, SPRM datang pejabat (PAS) dan sudah siasat semua akaun PAS termasuk semua yang terlibat dan didapati tak ada pun dakwaan, fitnah RM90 juta tersebut.

“Saya fikir itu sudah memadai apa lagi nak suruh SPRM nak siasat, mereka dah siasat pun dan mereka dah keluarkan kenyataan pun cuma saya ingat DAP ni tak dengar,” katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita mengenai laporan dibuat ADUN DAP Syerleena Rashid ke atas Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung penerimaan dana RM90 juta itu.

Laporan Syerleena kepada SPRM itu menuduh Abdul Hadi terlibat rasuah, pengubahan wang haram dan mengelak bayaran cukai berhubung penerimaan dana RM90 juta tersebut.

Laporan dibuat ekoran gesaan Lim Guan Eng supaya Hadi menjelaskan bayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah.

Ia bagi menyelesaikan saman difailkan PAS di United Kingdom berhubung artikel disiarkan laman web kendalian Rewcastle Brown pada 2016 berhubung tuduhan tersebut.

Tulisan disiarkan Sarawak Report itu menuduh PAS menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak untuk menarik sokongan parti Islam itu menjelang pilihan raya umum lalu.

Najib dihumban ke penjara pada bulan lalu atas tuduhan penyelewengan dana melibatkan SRC International yang berkait dengan skandal 1MDB,.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu pemberita, DAP sengaja membangkitkan fitnah itu semula bagi untuk mengugat intergriti PAS.

Tegas beliau, PAS sama sekali tidak mengetahui kewujudan dan menerima dana RM90 juta.

“Jadi anggap ini ffitnah yang sengaja diwujudkan untuk menimbulkan keraguan soal integriti PAS.

“Bagi PAS kita bersih, SPRM dah siasat, dah datang Pejabat Agung dah tengok semua akaun kita dan dibuktikan, cukuplah,” katanya lagi kepada pemberita di Terengganu.

Beliau menegaskan Bank Negara tentu mengetahui sekiranya wang dengan jumlah tersebut masuk ke akaun PAS.

“RM90 juta ini jumlah yang besar, takkanlah Bank Negara Malaysia tak tahu, mustahil lah. Satu jumlah yang besar begitu tak ada dalam akaun keluar masuk duit, negara kita ada prosedur.

“Mustahil BNM tak tahu sejumlah RM90 juta keluar masuk mana-mana akaun, mustahil,” katanya.

Tuan Ibrahim bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bersama jentera PAS di Dataran Kompleks Sukan Terengganu. – 23 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen