Zahid bebas 40 tuduhan rasuah kes projek sistem VLN


Ravin Palanisamy

Ahmad Zahid Hamidi dibebas dan dilepaskan dari 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek sistem Visa Luar Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid Hamidi dari 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek sistem Visa Luar Negara.

Hakim Mohd Yazid Mustafa mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri. 

Menurut hakim saksi yang memberi keterangan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak boleh dipercayai.

Beliau juga berkata tiada bukti mencukupi untuk membuktikan Zahid menerima wang seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Yazid berkata pihak pendakwaan gagal menghasilkan sebarang rakaman kamera litar dekat (CCTV) yang menunjukkan wang tunai dihantar ke kediaman Zahid.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh mewakili Zahid.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Mei 201 dan pihak pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos 2022 selepas memanggil seramai 18 saksi.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM43.68 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri. 

Beliau dikatakan menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan ini di Seri Satria, Presint 16 Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi apabila disabitkan.

Zahid juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di mana beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM43.68 juta) berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain beliau didakwa memperoleh wang tunai sebanyak SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 untuk dirinya sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan majlis rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Tujuh pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dengan memakai baju Melayu berwarna krim Zahid tiba di mahkamah awal hari ini diiringi laungan “Bebas Presiden” (Bebaskan presiden kita) oleh penyokongnya.

Zahid diiringi Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan ahli majlis tertinggi Umno Shamsul Anuar Nasarah. – 23 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen