PEMAJU bangunan separuh runtuh di Taiwan ketika gempa bumi sudah ditahan berkaitan membunuh kerana kecuaian. Lelaki itu, kata pendakwaraya tidak mempunyai tauliah untuk mengawal selia projek pembinaan.
Tingkat bawah bangunan kediaman 12 tingkat, Yun Tsui- yang juga menempatkan sebuah restoran dan hotel- terbenam selepas gempa bumi berukuran 6.4 magnitud melanda kawasan tumpuan pelancong Hualien pada 6 Februari.
17 orang terbunuh dalam gempa itu, 14 daripadanya di bangunan Yun Tsui.
Jumlah itu termasuklah sepasang warga China dari Beijing yang mayat mereka terhimpit baru sahaja dapat dikeluarkan minggu ini.
Pemaju Yun Tsui, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Liu, ditahan pada Selasa atas tuduhan “membunuh kerana kecuaian pekerjaan”, sementara tiga yang lain turut ditahan dan disoal siasat tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin. Mereka belum lagi dikenakan dakwaan rasmi.
Pejabat Pendakwaraya Daerah Hualien mendakwa Liu tidak mempunyai kelayakan kejuruteraan yang diperlukan tetapi mengawal selia pembinaan bangunan itu dan tidak mengupah firma kejuruteraan yang layak.
“Dia menggaji pekerja dan mengawal selia projek sendiri, menyebabkan kelemahan struktur bangunan dan keupayaan seismik bangunan itu,” kata pendakwaraya dalam satu kenyataan.
“Ia menyebabkan (Yun Tsui) runtuh serta merta, dalam masa lapan saat apabila gempa bumi berlaku,” kata pendakwaraya lagi.
Tiga orang lagi disenaraikan sebagai suspek adalah jurureka bangunan dan dua pemilik restoran dan hotel ditingkat bawah.
Tiga lagi bangunan yang rosak teruk di Hualien sudah dimusnahkan, termasuk hotel terkenal kawasan itu Marshal Hotel yang seorang pekerjanya terbunuh.
Walaupun negara itu dianggap kaya dan mempunyai teknologi canggih, Taiwan masih lagi berdepan masalah bangunan runtuh ketika gempa.
Gempa Hualien berlaku dua tahun selepas sebuah lagi gempa berukuran serupa berlaku di Tainan, membunuh 117 orang- kebanyakkannya dalam sebuah apartmen yang runtuh.
Lima orang kemudiannya didapati bersalah kerana runtuhan itu, termasuk pemaju dan dua jurureka bangunan kerana membina struktur yang tidak utuh.
Gempa bumi terburuk negara itu terbaru berlaku pada September 1999, berukuran 7.6 magnitud membunuh 2,400 orang.
Tragedi itu menyebabkan syarat pembinaan bangunan yang lebih ketat diperkenalkan tetapi masih banyak bangunan lama yang terdedah kepada risiko runtuh walaupun dilanda gempa lemah. – AFP, 28 Februari, 2018.
Komen