Parti baharu tidak mampu jadi ‘game changer’ jika bersendirian, kata pemerhati


Ravin Palanisamy

Muda baru-baru ini berkata ia mungkin bekerjasama dengan PH pada PRU akan datang, seperti dilakukan parti berasaskan golongan belia itu pada PRN Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

PARTI politik yang baru ditubuhkan tidak akan menjadi “game changer” atau pengubah keadaan jika mereka bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Selain beberapa personaliti terkenal yang berpeluang memenangi kerusi, pemerhati berkata parti politik baharu perlu bekerjasama dengan gabungan kukuh sedia ada bagi meraih peluang pada PRU akan datang.

Beberapa parti baharu yang mungkin menyertai PRU kali pertama ialah Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan Sabah dan Parti Kuasa Rakyat (Kuasa).

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata arena politik negara sudah penuh dengan nama besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional.

Beliau berkata parti baharu mungkin sukar untuk melakar kejayaan – daripada aspek memenangi kerusi – kerana parti besar mendominasi kebanyakan kawasan.

“Mereka mungkin ada peluang jika calon mereka personaliti yang digemari di kawasan tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tambahan pula, tanpa dasar atau program yang dapat menarik orang ramai dan tanpa kerjasama dengan gabungan besar sedia ada, sukar untuk parti baharu ada daya tarikan pada PRU15.”

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun senada dengan Tunku Mohar, berkata setiap parti mungkin dapat menang sejumlah kerusi, terutama menerusi tokoh politik terkemuka mereka.

Beliau berkata parti baharu juga tidak ada rekod kejayaan berbanding parti lebih besar.

“Saya fikir setiap parti akan menang kerusi, terutama bagi kerusi ditandingi pemimpin parti mereka, contohnya presiden parti.

“Lain daripada itu, sukar untuk mereka menawan kerusi yang secara tradisinya dipegang parti politik besar sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang, kerana parti baharu tidak ada rekod kejayaan lampau,” katanya.

Oh berkata parti politik baharu mungkin ada peluang jika mereka menyertai gabungan parti yang sedia ada.

Parti Kuasa Rakyat baru-baru ini mengumumkan ia akan bekerjasama dengan PBM pada PRU akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

Sementara itu, pakar politik Asia dari Universiti Tasmania James Chin berkata tidak ada parti baharu yang mempunyai penjenamaan politik yang cukup kuat pada masa ini, kecuali Muda.

Namun dengan penjenamaan Muda, yang kebanyakannya dibuat menerusi media sosial, Chin berkata ia tidak akan cukup untuk menggulingkan parti politik utama.

Beliau berkata parti baharu terpaksa bergantung kepada sokongan gabungan sedia ada yang kuat.

“Tidak ada antara mereka satu jenama yang sangat kuat. Muda paling kuat daripada segi jenama tetapi itu pun, kebanyakan dibuat di media sosial.

“Saya fikir penjenamaan Muda juga tidak sekuat parti utama lain.

“Semua parti ini akan perlu bergantung kepada gabungan lebih besar untuk membantu mereka daripada segi penjenamaan,” katanya.

Muda baru-baru ini berkata ia mungkin bekerjasama dengan PH pada PRU akan datang, seperti dilakukan parti berasaskan golongan belia itu pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Kuasa baru-baru ini mengumumkan ia akan bekerjasama dengan PBM pada PRU akan datang.

Presiden Kuasa Kamarazaman Yaakob berkata parti itu berminat untuk bergabung dengan PBM menjadi satu parti. Namun perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat agung PBM 1 Oktober depan.

Kamarazaman ialah abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berkata Kuasa mesra BN.

PBM baru-baru ini menyatakan minatnya untuk menjadi sebahagian daripada BN. Namun belum ada perkembangan berkenaan keputusan itu. – 22 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen