KERAJAAN Nigeria pada Selasa mengatakan ia menubuhkan satu jawatankuasa untuk menentukan bagaimana militan Boko Haram berjaya menculik 110 pelajar perempuan dari sekolah mereka yang terletak di timur laut negara itu.
Anggota kumpulan militan itu menyerbu Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di Dapchi, Yobe, Isnin lalu, hampir empat tahun selepas penculikan serupa di Chibok, Borno.
Ribuan wanita dan gadis diculik sejak konflik bermula pada 2009.
Jawatankuasa 12 anggota akan dipengerusikan oleh ketua jeneral dan termasuk tokoh kanan daripada angkatan tentera, polis, agensi perisikan dan kerajaan negeri.
Menteri Penerangan Lai Mohammed berkata ia akan melihat tahap keselamatan di Dapchi berhubung serangan itu.
Penduduk tempatan berkata mereka terdedah kepada serangan dengan pengunduran tentera bulan lepas, memberikan tanggungjawab soal keselamatan kepada polis biasa, yang dikatakan melarikan diri ketika militan menyerang.
Polis dan tentera sejak itu berbalah secara terbuka mengenai tanggungjawab keselamatan di bandar.
“Panel yang dijangka menyerahkan laporannya pada 15 Mac 2018, turut diminta mengesyorkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian masa depan,” kata Mohammed dalam satu kenyataan.
Sehingga pukul 6 petang (1700 GMT) Isnin, Angkatan Udara Nigeria terbang sehingga 200 jam sebagai sebahagian daripada operasi mencari pelajar perempuan, yang berumur di antara 11 hingga 19 tahun itu, kata kerajaan. – AFP, 28 Februari, 2018.
Komen