Seorang anggota polis maut insiden letupan bom di Pattani


SEORANG anggota polis maut manakala tiga lagi cedera dalam satu insiden letupan bom berdekatan sebuah hospital di Mai Kaen di Pattani.  

Ketua Polis Mai Kaen, Kol Pol. Torlap Lengha berkata dalam insiden pada 7.40 malam (waktu tempatan) pada Selasa sepasukan polis yang menaiki pikup dan motosikal membuat rondaan di depan Hospital Mai Kaen. 

“Sebutir bom buatan sendiri yang dipasang pada sebuah tong sampah di tepi jalan di depan Hospital Mai Kaen dipercayai diaktifkan dengan walkie-talkie.

“Letupan yang kuat menyebabkan seorang anggota polis yang menuggang motosikal maut manakala tiga yang lain cedera,” katanya pada sidang media selepas meninjau tempat kejadian hari ini. 

Beliau berkata semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. 

Torlap berkata letupan yang kuat menyebabkan motosikal yang dinaiki  mangsa musnah terbakar. 

Selain itu beliau berkata sebuah sekolah, dua gerai berhampiran tempat kejadian turut mengalami kerosakan. – Bernama, 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen