Jawatankuasa PH bincang permohonan Muda sertai Pakatan


Raevathi Supramaniam

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata pakatan itu membentuk jawatankuasa bagi membincangkan permohonan Muda untuk menyertai pakatan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) membentuk jawatankuasa bagi membincangkan permohonan Muda untuk menyertai pakatan itu, kata Majlis Presiden PH.

Dalam satu kenyataan jawatankuasa itu juga akan membincangkan kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen dalam PH.

“Mereka ialah Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Steven Sim (DAP), Mohd Hasbie (Anmanah) dan Won Benedick (UPKO),” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PRK Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata parti itu mahu menyertai PH sebagai salah satu parti komponen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan terbuka untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan majlis presiden PH berhubung perkara itu.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj juga menyatakan minat untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan PH kerana menyedari mereka tidak boleh memenangi kerusi sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata PSM tidak bercadang untuk secara rasmi menyertai PH sebagai parti komponen. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen