SEPUCUK sampul surat yang mengandungi “bahan tidak diketahui” dibuka di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran Washington pada Selasa, menyebabkan 11 orang sakit, termasuk anggota tentera, kata para pegawai.
Sampul surat itu diterima di Pangkalan Bersama Myer-Henderson Hall, yang membawa kepada pemindahan bangunan, kata Korps Marin Amerika dalam satu kenyataan.
Pegawai di pangkalan itu sedang “menyelaraskan dengan pasukan HAZMAT tempatan dan FBI. Beberapa marin menerima rawatan perubatan akibat kejadian ini,” menurut kenyataan itu.
“Tiada butiran tambahan boleh didapati pada masa ini kerana siasatan sedang dijalankan.”
Jabatan Bomba Arlington menulis tweet yang “11 orang mula merasa sakit selepas surat dibuka di bangunan pentadbir.”
CNN melaporkan seorang korperal, sarjan dan kolonel mengadu “rasa terbakar” di tangan dan muka mereka.
Jurucakap Marin Major Brian Block berkata, ia terlalu awal untuk mengatakan sama ada kejadian itu dianggap sebagai serangan keganasan.
“Ia terlalu awal untuk memulakan spekulasi mengenai perkara sebegitu, kita perlu menunggu dan biarkan penyiasat melakukan tugas mereka,” kata Block. – AFP, 28 Februari, 2018.
Komen