Pulau Pinang tidak akan bubar DUN semasa musim tengkujuh, kata KM


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata risiko kepada pengundi terlalu tinggi untuk pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata risiko kepada pengundi terlalu tinggi untuk pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh.

“Kalau bukan musim monsun itu lain cerita, kalau musim monsun kita mungkin tidak ikut (pilihan raya) sebab ia berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Chow berkata pertimbangan seperti banjir perlu diambil kira sekiranya kerajaan memutuskan mengadakan pilihan raya semasa musim hujan.

“Apa akan jadi kepada proses kempen dan pengundian sekiranya berlaku banjir ketika itu,?” soalnya.

Beliau berkata isu logistik bagi mereka yang akan pergi ke pusat mengundi juga perlu dipertimbangkan.

“Sebagai contoh jika berlaku banjir di pusat pengundian bagaimana dengan pengundi, bagaimana mereka mahu keluar mengundi ketika banjir berlaku.

”Bagaimana pula dengan nasib petugas-petugas dan sekiranya banjir apa akan berlaku kepada peti undi.

“Bolehkah negara ini dipanggil lagi negara demokrasi sekiranya hal-hal seperti ini (mengundi ketika monsun) tidak diambil kira oleh kerajaan?

“Bagaimanakah pengundi Malaysia boleh menggunakan hak mereka untuk mengundi apabila berhadapan dengan situasi hidup atau mati apabila rumah mereka dinaiki air? Pusat mengundi pun tidak akan terlepas,” katanya. 

Ini juga boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah, kata Chow.

“Hanya sedikit yang boleh keluar pengundi ketika monsun dan mereka yang keluar itu juga akan mengundi menolak BN,” katanya.

Bagaimanapun Chow berkata negeri itu akan mengadakan pilihan raya jika Parlimen dibubarkan pada penghujung penggal Julai tahun depan. 

“Jika pembubaran itu hampir dekat dengan penggal penuh, sudah tentu kami akan ikut. Tetapi sekarang, Barisan Nasional (BN) begitu berazam untuk mengadakan pilihan raya awal walaupun musim tengkujuh,” katanya. – 20 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen