Belanjawan 2023 perlu adil untuk semua kaum, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Ismail Sabri Yaakob perlu buktikan beliau perdana menteri untuk seluruh negara, bukan kaum tertentu saja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menunaikan janjinya untuk tidak meminggirkan masyarakat minority dan menjadi ketua untuk seluruh negara, bukan kaum tertentu saja, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata Belanjawan 2022 yang dibentangkan tahun lalu – kali pertama Ismail Sabri sebagai perdana menteri – menunjukkan disriminasi ketara terhadap kaum Cina dan India daripada segi peruntukan.

“Dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM11.4 bilion diperuntukkan untuk Bumiputera berbanding RM345 juta untuk Cina dan India,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika kita masukkan RM274 juta peruntukan untuk Orang Asli dalam Bumiputera, RM345 juta untuk CIna dan India kurang 3% daripada RM11.7 bilion diperuntukkan kepada Bumiputera dan Orang Asli.

“Tidak ada siapa bantah peruntuhan RM11.7 bilion itu untuk Belanjawan 2022.

“Tetapi bolehkah Ismail Sabri jelaskan kenapa masyarakat Cina dan India hanya RM345 juta atau kurang 3% daripada RM11.7 bilion diperuntukkan kepada Bumiputera dan Orang Asli?,” katanya.

Dalam Belanjawan 2022, RM11.4 bilion diperuntukkan untuk agenda pemerkasaan Bumiputera.

Lim berkata perdana menteri tidak jujur dan ikhlas dalam memberi jaminannya yang kerajaannya tidak akan meminggirkan usaha untuk memperkasakan masyarakat Cina di bandar dan luar bandar menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Memetikan peruntukan diberikan kepada bukan Bumiputera dalam Belanjawasan 2022, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata jaminan seumpama itu terlalu mudah dianggap sebagai retorik kosong menjelang pilihan raya umum.

“Bagaimana Ismail Sabri memastikan Belanjawan 2023 fokus kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhan, sedangkan bajet dibuat secara pengkhususan kaum dan bukan berdasarkan kepada keperluan,” katanya. – 20 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen