AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menjumpai sebarang bukti berlakunya insiden bot, yang dipercayai membawa 10 pendatang tanpa izin, karam di sekitar Batu Puteh di kedudukan 9.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di Kota Tinggi.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima aduan daripada seorang warga Indonesia mendakwa kapal yang dinaikinya bersama sembilan lagi karam di perairan itu pada 4 pagi tadi.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) diaktifkan pada 4.05 pagi dengan menggerakkan sebuah kapal dan bot ronda ke lokasi kejadian tetapi setakat 7.30 malam, tiada sebarang penemuan atau bukti ditemukan setelah pencarian dilakukan dengan keluasan 26.52 batu nautika.
“Malah pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga tidak melaporkan sebarang kejadian bot karam seperti yang diterima oleh pihak MRSC Johor Bahru,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Meskipun Operasi Carilamat ditamatkan pada 7.30 malam, Nurul Hizam berkata pemantauan akan terus dilakukan oleh aset maritim yang melakukan rondaan penguatkuasaan di laut.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ia adalah panggilan palsu dan sedang bekerjasama dengan polis serta konsulat Indonesia bagi mengesan individu yang membuat laporan itu.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam kenyataan pula memaklumkan menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada APMM pada 10.11 pagi.
Menurut KJRI, berdasarkan aduan yang diterima daripada APMM, individu terbabit yang dikenali sebagai Junaidi mendakwa kapal itu yang belayar dari Sungai Musoh, Pengerang dan dalam perjalanan ke Batam, Indonesia telah karam di Batu Puteh.
“Pihak APMM menyampaikan bahawa agensi di Malaysia telah melakukan pencarian di lokasi sekitar kejadian namun belum ditemukan petunjuk adanya kapal karam mahupun korban di lokasi,” katanya.
Bagaimanapun, KJRI Johor Bahru menjelaskan pihaknya sentiasa berkoordinasi dengan agensi berkaitan di Malaysia dan juga Indonesia untuk memastikan kesahihan kejadian itu serta mempersiap langkah-langkah penyelamatan yang perlu dilakukan. – Bernama, 19 September, 2022.
Komen