Laluan Azmin tidak mudah di Gombak, kata PKR


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkemungkinan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya sejak tiga penggal lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2022.

TIADA laluan mudah untuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya sejak tiga penggal lalu sekiranya bertanding sekali lagi di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia susulan tindakannya meninggalkan PKR dalam percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020, bersama 10 lagi ahli Parlimen yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Azmin bersama beberapa ahli Parlimen itu kemudiannya menyertai Bersatu.

Timbalan Ketua Cabang PKR Gombak A Rahim Kasdi berkata, tindakan Azmin itu mencetuskan kekecewaan kepada akar umbi, khususnya kepada pengundi dan bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata PKR sudah bersiap sedia berhadapan Azmin.

“Saya seorang pimpinan kanan di Gombak, bila wakil rakyat Parlimen (Azmin) dan Adun Gombak Setia keluar PKR kita tiada masalah langsung, majoriti ahli jawatankuasa cabang AMK dan Wanita masih ada bersama kita, kesannya boleh dikatakan tidak signifikan langsung,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Daripada tiga kerusi DUN, Hulu Kelang dan Sungai Tua masih kekal bersama PH manakala Gombak Setia yang diwakili Hilman Idham menuruti Azmin keluar dari PKR dan menyertai Bersatu.

DUN Hulu Kelang diwakili Ketua Amanah Bahagian Gombak Saari Sungib manakala Sungai Tua merupakan kerusi Menteri Besar Selangor yang juga Ketua Cabang PKR Gombak Amiruddin Shari.

“Di peringkat akar umbi tidak berapa (terjejas dengan tindakan Azmin), sebaliknya di bawah ini ramai yang kecewa dengan perbuatan itu.

“Walaupun dia orang lama pegang Gombak, selama berapa penggal tak semudah itu untuk dia menang balik di Gombak,” kata Rahim.

Bermula 11 September lalu, PKR memulakan kempen serangan bagi menawan semula kesemua kerusi yang mereka gelarkan kerusi pengkhianatan, bermula dengan program Rapat Mega di Gombak.

Program yang diisi dengan ceramah daripada kepimpinan parti itu berlangsung di tapak Bazaar Ramadhan Taman Melawati antara lain turut menyaksikan kehadiran Presiden Anwar Ibrahim.

“Program dibuat penerangan PKR Pusat, matlamatnya nak gempur Gombak. Di Gombak ada dua orang khianat, Azmin dan Hilman.

“Kita nak tunjuk kekuatan kita di Gombak masih kuat, walaupun ada ahli Parlimen dan Adun keluar menyertai parti lain. Kita nak beritahu rakyat kekuatan kita masih kekal dan tidak terjejas.

“Kita akan mempertahankan Parlimen dan merampas DUN Gombak Setia, di bawah pimpinan menteri besar, kita yakin dapat balik kerusi di bawa lari dua orang pengkhianat itu,” kata Rahim.

Empat hari kemudian, kumpulan Azmin pula menganjurkan program, namun dalam keadaan berbeza, melalui penganjuran munajat perdana dan sambutan Hari Malaysia Parlimen Gombak di Masjid Al Khairiyah, Taman Seri Gombak.

Selain kehadiran Hilman, program bacaan Yasin dan doa selamat tersebut turut menampilkan bekas menteri agama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai tetamu jemputan.

Parlimen Gombak merupakan sebilangan kerusi bandar yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang membentuk sekitar 77% daripada keseluruhan pengundi.

Etnik Cina dan India membentuk masing-masing sejumlah 11% daripada keseluruhan populasi pengundi.

Kawasan Parlimen itu ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum ke-9 selepas kawasan itu dipisahkan dari Parlimen Selayang.

Sejak itu, Barisan Nasional (BN) melalui wakil Umno menguasai kawasan tersebut sebelum Azmin memecah tradisi menjadi wakil rakyat pembangkang yang memenangi kerusi Parlimen Gombak buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Beliau kekal menyandang kerusi tersebut sehingga PRU14 lalu apabila menang majoriti 48,271 menewaskan calon Umno dan PAS.

Azmin, Hilman kekal di Gombak untuk PRU15

Hilman menjangkakan bagi PRU15, Azmin akan kekal bertanding di Parlimen Gombak manakala beliau juga kekal bersaing di kerusi Gombak Setia.

Hilman berkata, berdasarkan rundingan antara komponen PN yang disertai Bersatu dan PAS, dan parti Sabah, penyandang kekal di kawasan masing-masing.

“Prinsip kita di PN penyandang kekal, jadi status quo siapa yang bertanding di kawasan lama penyandang tetap bertanding di kawasan masing-masing.

“InsyaAllah Azmin kekal (di Gombak), saya di Gombak Setia,” katanya, kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di program tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak melihat gerakan PKR mensasarkan kerusi yang diwakili mereka sebagai ancaman kepada kedudukan mereka.

“Pada kita apa yang mereka lakukan itu hak mereka tapi bagi kita sebagai warga di Gombak ini kita merasakan dalam suasana dan keadaan hari ini seharusnya kita lebih banyak sebarkan mesej tentang perpaduan kesatuan dikalangan rakyat.

“Bagi kita pada hari ini rakyat muak tentang politik, rakyat nak lihat bagaimana perpaduan yang kita jana dapat membantu mereka dari segi ekonomi, sosioekonomi rakyat, program yang kita laksanakan dan yang penting sekali kehidupan mereka di Gombak ini terus harmoni dan pembangunan infrastruktur kita tambah baik dari masa ke semasa.

“Bagi saya dan Azmin, merasakan perkara perkara itu jauh lebih penting daripada bincang soal pengkhianat dan sebagainya,” kata Hilman.

Tambahnya, beliau juga yakin kerjasama antara komponen membantu membolehkan PN mengekalkan penguasaan mereka di kerusi tersebut.

“Alhamdulillah PN di Gombak telah memulakan kerjasama daripada awal hubungan Bersatu dan PAS cukup akrab, banyak program yang telah mula kita laksanakan secara bersama dan saya merasakan apa yang kita laksanakan pada hari ini dapat sambutan baik daripada rakyat.

“Di Gombak, majoriti pengundi adalah Melayu, di Gombak Setia sahaja ada tujuh kampung Melayu tradisi, hubungan dengan PAS amat penting untuk memastikan perpaduan dan kesatuan dikalangan rakyat bersama dengan kita,” kata Hilman lagi.

Azmin sukar pertahan Gombak

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berpandangan sumber kekuatan Azmin selama tiga penggal itu bukan semata-mata kerana susuk tubuh badannya, tetapi atas faktor sokongan rakyat kepada PKR dan PH.

Mazlan berkata, walaupun kumpulan ahli Parlimen yang bersama Azmin seperti Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, dikatakan sebagai pemimpin mempunyai nama besar, tanpa PH, mereka hilang pengaruh dan kekuatan.

“Dahulu individu seperti Azmin dan Zuraida menang atas populariti PKR dan PH, kita tidak menafikan tokoh seperti ini adalah tokoh yang dianggap hebat.

“Mereka ini orang yang dianggap sebagai tokoh besar, tetapi apabila mereka tidak lagi berda dalam gabungan PH dan tidak menganggotai PKR pengaruh mereka sukar menarik pengundi di kawasan mereka pernah wakili,” kata Mazlan.

Tambah Mazlan, demografi kebanyakan daripada wakil rakyat tersebut terletak di bandar dan pinggir bandar yang mempunyai pengundi partisan adalah kubu PKR.

“Ini kerana pengundi di kawasan mereka adalah mereka yang melihat trek rekod pemimpin dan mengukur KPI.

“Pemimpin ini terpalit gelaran pengkhianat bila lompat parti, mereka tunjukkan mesej tidak baik. Pemimpin ini membelakangkan parti yang mereka pernah wakili.

“Jadi bila PKR bawa naratif pengkhianat ia akan mempengaruhi pengundi, mereka anti kepada ketidaktelusan dan melompat parti dianggap perbuatan tidak telus,” kata Mazlan lagi.

Justeru beliau menjangkakan sukar bagi penyandang mengekalkan penguasaan mereka di kawasan yang mereka wakili.

“Adakah Azmin dan Zuraida ini mampu kekalkan kerusi mereka? peluang agak tipis kecuali mereka mewakili gabungan besar yang setanding dengan PH di kawasan bandar ini.

“Seperti menyertai BN atau PN dalam konteks yang lebih besar dan mampu beri saingan kepada PH, mereka mungkin berpeluang mengekalkan kerusi tersebut,” tambahnya.– 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen