Muda intai kerusi bukan Pakatan dalam PRU15, kata timbalan presiden


Raevathi Supramaniam

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya berkata gabungan Muda dan Pakatan Harapan adalah tawaran terbaik untuk rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

MUDA memberikan tumpuan kepada kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang, bukan kerusi Pakatan Harapan (PH), kata Amira Aisya.

Timbalan Presiden Muda itu berkata gabungan Muda dan PH adalah tawaran terbaik untuk rakyat.

“Apabila Muda umumkan niat untuk penyertaan sebagai parti komponen PH minggu lepas saya juga tekankan dua perkara utama iaitu kerusi yang Muda sasarkan bagi PRU15 adalah kerusi Umno-BN dan PN (Bersatu dan PAS).

“Kedua, misi utama Muda bagi PRU15 adalah memastikan kemenangan untuk rakyat dan blok Pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Muda pernah bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam pilihan raya negeri.

Adun Puteri Wangsa itu berkata rundingan kerusi dan komunikasi akan lebih lancar jika mereka berada dalam gabungan yang sama.

“Ini bukan hal yang kecil dan remeh. Kita harus hormat ruang dan masa kepada rakan-rakan untuk adakan perbincangan rasmi kerana paling penting, kita mahu rakyat dapat manfaat dari hubungan politik antara parti ini.,” katanya.

Minggu lalu PH berkata mereka akan menubuhkan jawatankuasa untuk mengadakan rundingan dan menilai kedudukan Muda.

Naib Pengerusi PH, Salahuddin Ayub, berkata rundingan itu sebagai langkah penglibatan dengan Muda selain menjelaskan parameter yang harus dimaklumkan kepada parti yang berhasrat untuk menyertai PH. – 19 Semptember, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen