Badan kehakiman tanpa sentimen dan prejudis


SPEKULASI dan persepsi yang negatif oleh segelintir masyarakat ekoran keputusan mahkamah berkaitan isu mantan perdana menteri Najib Razak perlulah dihentikan.

Ia bukan sahaja memberikan kesan yang tidak baik terhadap negara tetapi mewujudkan suatu fenomena yang menjengkelkan dalam kalangan masyarakat.

Apa tidaknya, ia akan menyentuh pelbagai aspek lain seperti politik, ekonomi serta hubungan serantau berikutan terlalu membela kesalahan besar yang dilakukan seseorang itu.

Sangat ironinya, sehingga Ketua Hakim Negara sendiri, Tun Tengku Maimun Tuan Mat terpaksa mengulas tentang serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Persepsi berlebihan

Ia juga adalah berikutan kondisi masyarakat yang terlalu berlebihan dan prejudis terhadap keputusan mahkamah. Sebagaimana saranan beliau: “Ahli politik dan masyarakat digesa membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.”

Tengku Maimun berkata, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman terutamanya selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berdasarkan sentimen semata-mata.

“Komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.”

Menurutnya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.

“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas,” tegasnya.

Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya pada kepada yang pakar sebelum membuat kesimpulan. 

Tentunya tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.

“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara. Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul.”

Teringat saya dengan kata-kata penulis Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006) dalam bukunya berjudul Gadis Pantai: “Di sini ada hukum. Kalau hukum tidak ditaati lagi, mari kita panggil hakim.”

Maka, sampai bila setiap keputusan hendak dikaitkan dengan sentimen sesuatu parti jika sesuatu itu telah didapati jelas kesalahannya?

Sultan tegur rakyat

Pepatah ada menyatakan bahawa apabila seseorang hakim membuat sesuatu keputusan, ia hendaklah diputuskan atas dasar ‘without fear or favour.’

Maka, penghakiman yang dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama.

Menerusi satu kenyataan pada 12 September, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman sekali gus menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak diingini.”

Baginda turut menzahirkan sokongan padu kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang bertitah bahawa kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Bebas daripada tekanan

“Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.”

Justeru, Sultan Sharafuddin bertitah, badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Penghakiman yang dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama. Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.”

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna, rakyat tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang undang yang sama.

Baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.

Martabatkan institusi kehakiman

Kedaulatan undang-undang dalam sesebuah negara bukan sahaja penting untuk pentadbiran dan politiknya, tetapi turut memainkan peranan yang penting kepada setiap individu dalam masyarakat. 

Tanggungjawab melaksanakan dan menegakkan kedaulatan undang-undang dalam kesaksamaan, keadilan dan integriti terletak pada pemimpin negara, tetapi pada masa yang sama, setiap warganegara memikul tanggungjawab untuk mengamalkan serta memantapkan kedaulatan undang-undang dalam kehidupan sehariannya. 

Atas dasar ini, masyarakat perlu berusaha untuk mengangkat martabat institusi kehakiman negara dan mewujudkan piawaian yang sepatutnya berdasarkan kedaulatan undang-undang serta keadilan dalam sistem badan kehakiman.

Masyarakat perlu mempromosikan nilai-nilai komitmen kepada ketenteraman dan kedaulatan undang-undang, kerana ia adalah cara yang sewajarnya untuk membina sebuah negara, mengukuhkan laluannya, dan memelihara hak serta maruah warganya.

Tidak dinafikan bahawa lawan daripada ketiadaan prestij ialah huru-hara, kecurangan dan pelanggaran undang-undang atau pelindungnya daripada badan kehakiman keselamatan, serangan ke atas harta awam juga persendirian, serta mengganggu kesejahteraan negara.

Ia adalah amalan yang merupakan penyimpangan daripada semangat kewarganegaraan hingga mewujudkan budaya putus asa dalam kalangan rakyat dan sama sekali tidak ada kaitan dengan demokrasi dan nilai-nilainya.

Ini adalah pelanggaran ketenteraman dan pelanggaran undang-undang serta nilai masyarakat. Kita seharusnya menghadapi amalan sosial dan tindakan yang memudaratkan komponen asas masyarakat, perkembangan dan kemajuan, serta seterusnya menghidupkan semangat ‘kedaulatan undang-undang’ kepada semua orang secara adil tanpa sebarang rasa tidak puas hati.

Seruan untuk menjaga martabat badan kehakiman, perlembagaan dan undang-undang tidak bermakna wujud kecenderungan diktator atau kezaliman.

Kebebasan akhbar dan media tidak boleh disekat, dan ia perlu diberikan tiket yang seluasnya bagi menyatakan semua isu dan kebimbangan negara dan rakyatnya.

Kritikan membina terhadap semua amalan pihak berkuasa mahupun agensi yang berkaitan bagi mendapat manfaat daripada kritikan yang membina dan bertujuan untuk pembaikan dan pembaharuan. Namun, apabila ia mula terlibat dengan sesuatu yang dilarang, ia harus bertanggungjawab.

Oleh itu, kita sebagai warganegara perlu mengangkat martabat negara, memelihara ketenteraman, menghormati undang-undang dan perlembagaan demi mengekalkan perpaduan, keselamatan, kestabilan politik, ekonomi juga bagi menghadapi segala ancaman rasuah, sama ada politik, partisan, kewangan mahupun pentadbiran.

Ayuh, selamatkan Malaysia! – 19 September, 2022.


* Atriza Umar, Pegawai Komunikasi Strategik dan Multimedia Pertubuhan Ikram Malaysia dan felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen