SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi semalam mengutuk serangan Azerbaijan ke atas Armenia yang mencetuskan konflik terburuk sejak perang pada 2020 ke atas wilayah Nagorno-Karabakh.
Pertempuran baharu yang tercetus Selasa lepas di sempadan dua negara itu mengorbankan lebih 200 nyawa.
“Bagi pihak Kongres, kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu, yang mengancam peluang perjanjian damai yang amat diperlukan,” katanya kepada pemberita di Yerevan.
Sementara itu, Speaker Parlimen Armenia Alen Simonyan yang ditemui bersama Pelosi semalam berkata beliau berterima kasih atas usaha AS menjadi perantara sehingga gencatan senjata dicapai.
Percubaan awal oleh Rusia untuk menjadi perantara gagal.
Pelosi tiba di Yerevan pada Sabtu untuk lawatan selama tiga hari. Beliau pegawai tertinggi AS yang melawat Armenia sejak negara itu merdeka dari Kesatuan Soviet pada 1991. – AFP, 19 September, 2022.
Komen