Bank Negara tak ambil berat kes pelanggan bank kena tipu, kata PKR


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bank Negara didakwa gagal bertindak dengan berkesan untuk menangani kes penipuan kewangan digital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

PKR kecewa pihak berkuasa terutama Bank Negara Malaysia (BNM) masih gagal bertindak dengan berkesan untuk menangani kes penipuan kewangan digital yang semakin membimbangkan.

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung berkata, usaha untuk membantu kumpulan mangsa penipuan itu bukan sahaja tidak diambil berat oleh BNM malah dianggap menyinggung perasaan.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight demikian bagi menjelaskan kemajuan usaha membantu Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online (#ScamVictimSupport).

“Saya kecewa kerana tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia terlalu sedikit dan lambat. Kita berada di belakang United Kingdom dan Singapura mungkin 12 hingga 24 bulan.

“Saya secara peribadi juga kecewa kerana mereka melihat kumpulan sokongan #ScamVictimSupport sebagai sesuatu yang menyinggung perasaan.

“(Pihak berkuasa) sepatutnya menghubungi mangsa secara proaktif dan tidak membelakangkan mereka apabila kumpulan itu dengan rendah hati mendekati mereka, sekarang keadaan sebaliknya,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang berkata, pertemuan pertama sekretariat itu yang dijadualkan berlangsung dengan BNM pada Jumaat lalu gagal.

Sekretariat yang terdiri dari peguam, sukarelawan dan dua lagi mangsa yang mewakili kumpulan mangsa penipuan itu enggan ditemui oleh BNM, katanya.

“Mereka menghubungi saya dan memaklumkan hanya mahu berjumpa dengan saya dan bukannya sekretariat,” katanya.

Tambah beliau, suratnya bertarikh lebih sebulan lalu kepada Nor Shamsiah Mohd Yunus mengenai kebimbangan kes penipuan kewangan digital yang semakin serius itu juga tidak berbalas.

“Saya belum menerima apa-apa maklum balas daripada surat dihantar tangan kepada beliau itu.

“Jika seruan dan suara wakil rakyat juga boleh ditolak dan tidak diendahkan sebegitu, bayangkan ribuan mangsa yang mendahagakan bantuan daripada BNM,” tegasnya.

Lee berkata, sekretariat itu antara lain mahu membincangkan mengenai peruntukan undang-undang yang membebankan pelanggan bank pada masa ini.

Pengarah komunikasi PKR Lee Chean Chung berkata, usaha membantu kumpulan mangsa penipuan bukan sahaja tidak diambil berat oleh BNM malah dianggap menyinggung perasaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

“Pihak bank dengan senang-lenang mencuci tangan kerana mereka mengalami kerugian sifar ákibat kes penipuan.

“Disebabkan itu kami menggesa BNM untuk campur tangan dan bertindak tegas dengan bank,” katanya lagi.

Lee menjelaskan, BNM bertanggungjawab di bawah Akta Bank Negara 2009 mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan.

Oleh itu, institusi berkenaan wajib mempertahankan keyakinan dan kepentingan awam berkenaan dengan keselamatan sistem perbankan Malaysia.

Sekiranya BNM menjalankan kawal selia ketat, bank komersial akan lebih peka kepada tanggungjawab sosial mereka dan kepentingan awam, katanya.

Selain mewajibkan bank memikul tanggungjawab kewangan ke atas kes penipuan, sekretariat itu menggesa BNM mewajibkan bank mengemas kini sistem keselamatan siber mereka.

Tambahnya, BNM juga perlu menubuhkan pusat khas yang melibatkan semua bank bagi menangani kes penipuan.

“(BNM perlu) menubuhkan pusat antipenipuan dan memaksa bank lain menempatkan kakitangan mereka di sana untuk memastikan tindakan segera dapat diambil ke atas kes penipuan kewangan,” katanya.

Lee menjelaskan, kumpulan sokongan #ScamVictimSupport kini menghimpun 30 kes penipuan yang menyebabkan kerugian lebih RM4 juta.

“Kami dalam proses untuk mengadakan penerangan berkaitan undang-undang penipuan dalam minggu ini,” katanya yang tidak mahu kes itu ditangani sambil lewa.

Beliau seterusnya menyeru individu yang menjadi mangsa penipuan kewangan atas talian untuk tampil ke Ibu Pejabat Parti PKR bagi memperjuangkan nasib masing-masing.

Lee menjamin sekretariat itu akan dapat memberi bantuan guaman serta usaha pemerkasaan supaya mangsa terlibat dapat meneruskan usaha mendapat pengadilan.

“(Kami akan bawa) dorongan dasar supaya badan kawal selia kita menjadi sejiwa dengan rakyat jelata, bukan bersekongkol bersama elit yang tidak menghiraukan kesengsaraan kita,” katanya.

JSJ Komersial Bukit Aman merekod 14,140 kes jenayah dalam talian membabitkan kerugian RM482 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

Lee menyebut, polis Selangor merekodkan sebanyak 1,354 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian sebanyak RM59.6 juta hanya pada separuh suku tahun pertama 2022.

Katanya, jumlah tersebut menjadikan purata tujuh kes sehari dan kerugian sebanyak RM44,000 bagi seorang mangsa di negeri tersebut.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pula merekodkan 14,140 kes jenayah dalam talian membabitkan kerugian RM482 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu menurun sebanyak 6,561 kes berbanding 20,701 kes direkodkan dengan kerugian RM560 juta bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Katanya, jumlah tertinggi melibatkan pembelian dalam talian sebanyak 6,449 sejak awal tahun sehingga Ogos, membabitkan kerugian RM89 juta berbanding 9,499 kes (RM73 juta) bagi 2021.

“Sebanyak 2,191 kes pinjaman tidak wujud direkodkan pada tahun ini dengan kerugian RM25 juta berbanding 4,784 kes (RM50 juta) pada tahun lalu,” katanya.

Acryl Sani berkata, polis juga merekodkan 2,379 kes penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kerugian RM151 juta pada tahun ini berbanding 3,195 kes (RM245 juta) pada tahun lalu.

“Bagi kes Macau Scam pula, sebanyak 2,439 kes direkodkan dengan kerugian RM147 juta pada tahun ini berbanding 1,585 kes (RM84 juta) pada tahun lalu.

“Sebanyak 549 kes dengan kerugian RM39 juta membabitkan African Scam direkodkan pada tahun ini manakala 1,460 kes (RM56 juta) dicatatkan pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) pula merekodkan 101 kes membabitkan kerugian lebih RM1.3 juta pada tahun ini berbanding 121 kes (RM1.7 juta) pada tahun lalu.

“Bagi kes penipuan emel perniagaan pula, sebanyak 32 kes direkodkan dengan RM28 juta kerugian pada tahun ini berbanding 57 kes (RM49 juta) pada tahun lalu,” jelas beliau.

Polis mensasarkan kes penipuan dalam talian dapat berkurang sebanyak 10% pada tahun depan dengan pelantikan 104 duta antipenipuan dari kalangan artis, usahawan, agamawan dan atlet.

Duta tersebut, antaranya bekas pemain badminton negara Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Aaron Chia akan membawa kesedaran kepada orang ramai bagi mengelak terjerat penipuan dalam talian. – 19 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen