Nelayan hilang dalam insiden bot karam di Perak ditemukan lemas


Menurut APMM, mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, bekerja sebagai nelayan syarikat perikanan dekat Hutan Melintang. – Gambar Facebook, 18 September, 2022.

SEORANG nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas semalam ditemukan lemas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira jam 11.30 pagi oleh nelayan setempat.

“Kami terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat).

“Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat ditamatkan jam 12.40 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang bekerja sebagai nelayan sebuah syarikat perikanan dekat Hutan Melintang.

Katanya, dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga lelaki dimasuki air dan ketiga-tiga mereka terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Dua daripada mereka yang juga warga Indonesia sempat mencapai tong air untuk terapung manakala mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Op Carilamat dan Bot Petir 83 daripada MN Selangor diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan penugasan operasi.

Beliau berkata, Op Carilamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Balai Polis Rungkup dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata, bot terbabit dikatakan berlabuh di muara Bagan Lipas bagi tujuan rehat sebelum kembali ke pelantar di Hutan Melintang.

“Mereka keluar menangkap ikan pada 13 September lalu di 5 batu nautika dari kawasan pelantar dan bot mereka tenggelam sekitar jam 3 pagi.

“Operasi menyelamat dilakukan pada hari sama pada jam 12 tengah hari namun terpaksa memberhentikan operasi pada 7 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung hari ini,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut pada tiang sebuah kelong di Muara Sungai Bagan Lipas dan mayat dikenal pasti oleh waris mangsa sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi bedah siasat. – Bernama, 18 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen