DAP tuntut badan bebas siasat kempen, akaun hasutan polis


Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara Idrus Harun agar mengarahkan pihak tidak berkepentingan menyiasat dakwaan Meta yang pasukan polis mengolah pandangan umum melalui akaun palsu media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

SATU badan bebas perlu menyiasat pendedahan firma Meta Platforms Inc mengenai kegiatan pasukan polis mengolah pandangan umum melalui akaun palsu media sosial, tegas DAP.

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo berkata Peguam Negara Idrus Harun perlu mengarahkan agar kempen hasutan itu disiasat oleh individu tidak berkepentingan.

“(Ia perlu disiasat) individu yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan PDRM dan dakwaan itu seharusnya memutuskan sama ada terdapat asas atau tidak ke atas dakwaan tersebut.

“Memandangkan ini isu berkepentingan awam melibatkan integriti pihak polis, lebih baik jika siasatan sedemikian juga didedahkan kepada umum bagi meningkatkan ketelusan dan kredibiliti.”

Dalam kenyataannya, Gobind membangkitkan isu konflik kepentingan apabila polis dibiarkan menyiasat kes itu sendiri.

“Penting untuk diperhatikan bahawa PDRM telah menafikan dakwaan tersebut walaupun sebelum siasatan selesai.

“Tidakkah di dalam keadaan ini terdapat konflik di pihak PDRM untuk menyiasat perkara tersebut?” soalnya.

Laporan mengenai dakwaan kegiatan mengolah pandangan umum melalui akaun palsu itu didedahkan firma pemilik Facebook itu pada 6 Ogos lalu.

Ia menyebut, akaun tersebut menjalankan kempen menyokong kerajaan serta membidas pengendali akaun Facebook dan Instagram yang tidak menyokong pihak kerajaan.

Meta menyebut, sejumlah kira-kira 1,000 akaun Facebook dan Instagram, serta kumpulan dan halaman Facebook dihapuskan kerana salah laku itu.

Kegiatan kempen menggunakan akaun palsu di media palsu dalam jumlah besar itu dikategorikan Meta sebagai kumpulan pengasut di media maya. – 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen