BERIBU-RIBU penduduk berlindung di tempat perlindungan di barat daya Jepun pada Ahad ketika Taufan Nanmadol yang kuat melanda wilayah itu, mendorong pihak berkuasa menggesa hampir tiga juta penduduk berpindah.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan “amaran khas” yang jarang berlaku untuk wilayah Kagoshima di wilayah selatan Kyushu.
Menjelang pagi Ahad, 25,680 isi rumah di Kagoshima dan negeri jiran Miyazaki sudah terputus bekalan elektrik, manakala perkhidmatan kereta api serantau, penerbangan dan feri dibatalkan, kata pengendali utiliti dan perkhidmatan pengangkutan tempatan.
JMA telah memberi amaran wilayah itu mungkin berdepan bahaya “belum pernah berlaku sebelum ini” akibat angin kencang, gelombang ribut dan hujan lebat.
“Kewaspadaan maksimum diperlukan,” Ryuta Kurora, ketua unit ramalan JMA berkata pada Sabtu.
“Ia taufan yang sangat berbahaya.”
“Angin akan menjadi sangat kencang sehingga beberapa rumah mungkin runtuh,” kata Kurora kepada pemberita, turut memberi amaran tentang banjir dan tanah runtuh.
Setakat ini, 2.9 juta penduduk di Kyushu telah diberikan amaran pemindahan, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana kerajaan, malah pegawai Kagoshima berkata lebih 8,500 orang sudah berada di pusat perlindungan menjelang pagi Ahad.
Amaran pemindahan menyeru orang ramai berpindah ke tempat perlindungan atau penginapan alternatif yang boleh menahan cuaca ekstrem.
Tetapi ia tidak wajib, dan semasa kejadian cuaca ekstrem yang lalu, pihak berkuasa telah bergelut untuk meyakinkan penduduk supaya berlindung dengan sangat cepat.
Kurora menggesa orang ramai berpindah sebelum ribut terburuk tiba dan memberi amaran walaupun dalam bangunan kukuh penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga. – AFP, 18 September, 2022.
Komen