RIBUT kuat membadai barat Alaska, menyebabkan air pasang besar dan banjir yang memusnahkan beberapa kediaman, kata pusat ramalam cuaca Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.
Sisa Taufan Pasifik Merbok mencipta salah satu ribut paling kuat yang memberi kesan kepada rantau itu pada masa ini dalam beberapa dekad dan dijangka membadai pantai sepanjang hujung minggu.
Keadaan berbahaya termasuk ombak besar, gelombang ribut, tiupan angin kuat taufan, hakisan pantai dan hujan lebat, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Twitter.
“Banjir akan menjadi lebih teruk,” pejabat perkhidmatan Fairbanks, Alaska tweet.
Tiada laporan terkini mengenai kecederaan atau kematian kata Gabenor Mike Dunleavy ketika beliau mengisytiharkan bencana bagi komuniti yang terjejas.
“Ini adalah ribut paling kuat pada awal musim luruh dalam tempoh 50 tahun lalu di Laut Bering,” kata Rick Thoman, pakar klimatologi di Universiti Alaska-Fairbanks, kepada AFP melalui e-mel.
Di perkampungan pantai Golovin, pejabat Fairbanks berkata, air memenuhi sekolah, rumah dan bangunan ditenggelami air, sekurang-kurangnya beberapa rumah rosak.
Imej di media sosial menunjukkan kerosakan yang besar. Rakaman di CNN menunjukkan sebuah rumah terapung di sungai sebelum tersekat di bawah jambatan.
NWS menggambarkan “laut yang sangat marah” di sepanjang pantai sekitar Nome, dengan gelombang pasang surut menghampiri 3.3m, yang tertinggi sejak banjir 1974.
Tiupan angin sekuat 145km sejam direkodkan, kata NWS, dengan tiupan lebih kuat dijangka berlaku.
Pejabat NWS di Anchorage melaporkan paras air laut naik sehingga 41 kaki pada petang Jumaat.
Penganalisis menggambarkan ribut itu sebagai dimensi bersejarah.
“Terdapat kerosakan besar akibat banjir dan angin kencang di banyak komuniti di sepanjang barat Alaska. Ini termasuk kerosakan kepada rumah dan bangunan lain (dan) banjir di lapangan terbang,” kata Thoman.
Dengan ribut membadai kawasan utara, amaran banjir kekal berkuat kuasa sehingga 10 malam Sabtu (0600 Ahad GMT) di kawasan pantai selatan dan sehingga 8.30 pagi Ahad di wilayah utara, kata pegawai NWS dalam taklimat di Facebook. – AFP, 18 September, 2022.
Komen