Cerita ahli keluar parti tanda PRU makin dekat, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Bersatu tidak terancam dengan isu keluar parti kerana melihat gerak kerja parti semakin kukuh bersama komponen gabungan menjelang pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

ISU ahli keluar parti hanya digembar-gemburkan sebagai propaganda menjelang pilihan raya umum (PRU) semakin hampir dan tidak memberi kesan kepada Bersatu, kata pemimpinnya.

Mereka juga menolak perkembangan itu sebagai ancaman kepada Bersatu kerana melihat gerak kerja parti semakin kukuh bersama komponen gabungan menjelang pilihan raya.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Muhammad Faiz Naaman memberitahu The Malaysian Insight, kes ahli keluar parti juga dijangka banyak berlaku kepada banyak parti lain.

“Kalau dibaca alasan yang diberikan agak tipikal, mereka yang keluar parti alasannya lebih kurang sama – pemimpin lemah, tak bersetuju (dengan parti lama), parti seperti tiada hala tuju.

“Itu alasan sesiapa sahaja yang menukar parti, tiada keunikan sangat alasan mereka.

“Ini salah satu tanda bibit-bibit dah nak dekat pilihan raya, banyak berlaku propaganda seperti ini. dan akan semakin banyak berlaku, bukan sahaja untuk Bersatu tetapi juga kepada parti lain.”

MPT Bersatu Dr Muhammad Faiz Naaman berkata mereka makin mengukuh bersama PAS, khususnya negeri yang dikuasai parti Islam itu. – Gambar Facebook, 18 September, 2022.Beliau merujuk laporan sekumpulan 700 ahli Bersatu kawasan Dusun Tua keluar parti pada 26 Ogos lalu dan menyertai Pejuang, parti yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

Parti tersebut ditubuhkan Dr Mahathir selepas tersingkir daripada Bersatu ekoran tindakan parti tersebut bekerjasama dengan Umno dan PAS untuk mengambil alih Putrajaya pada 2020.

Mengulas lanjut, Faiz berkata Bersatu tidak terjejas dengan perkembangan tersebut namun ia tetap mendapat perhatian pemimpin parti.

“Ini saya anggap kejadian yang sentiasa berlaku dan akan terus berlaku, bukan sesuatu yang aneh, ia tak mengganggu-gugat keseluruhan keahlian kepimpinan parti Bersatu.

“Saya tak pasti alasan mereka, perihal sebenarnya macam mana, (perkara itu) tidak di bawa ke perbincangan dengan pimpinan tertinggi tapi saya percaya ianya mendapat perhatian (mereka).”

Pada masa sama, gerak kerja Bersatu juga semakin rancak, lebih-lebih lagi selepas gabungan yang diasaskannya bersama PAS, Perikatan Nasional (PN) sudah menggariskan hala tuju mereka.

Konvensyen PN 27 Ogos lepas antara lain memperincikan agar jentera PN bersiap sedia di setiap kawasan untuk memastikan gabungan itu mampu meraih kemenangan dalam PRU15.

“Lepas konvensyen ada suntikan semangat, tapi secara berperingkat, gelombangnya berperingkat tapi makin agresif. Sebab kita anggap pilihan raya dah dekat, lebih kurang dalam hujung tahun ini.

“Tapi saya harap tidaklah berlaku tahun ini, tetapi kerana banyak teka-teki Bersatu tak ambil mudah kebarangkalian untuk PRU15 tahun ini.

“Saya nampak bagi pihak Bersatu gerakan makin rancak, bila bergerak untuk aktiviti kita akan guna logo PN,” katanya.

Beliau menambah pemimpin tertinggi seperti Muhyiddin Yassin juga aktif di lapangan dan kerancakan aktiviti itu juga dapat dilihat di media sosial.

Faiz berkata, Bersatu yang kini dianggotai lebih 700,000 ahli mempunyai kerjasama dan makin mengukuh bersama PAS, khususnya negeri yang dikuasai parti Islam itu.

“PN ada di mana-mana sahaja, di negeri majoriti Melayu gabungan PAS dan Bersatu cukup kuat. Terengganu, Kelantan, Kedah – ini negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu beragama Islam,” katanya.

Selain Bersatu dan PAS, PN turut dianggotai Gerakan, dan parti Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Setiausaha PN Selangor Hilman Idham juga berpandangan, 15 resolusi di konvensyen itu membantu gerak kerja akar umbi dan memudahkan proses jentera pilihan raya mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu memberitahu The Malaysian Insight, gerak kerja jentera menumpukan pengukuhan perpaduan dalam gabungan dan kemenangan pilihan raya.

Setiausaha PN Selangor Hilman Idham berkata kisah ahli keluar parti juga hanya dicanang kerana PRU15 semakin dekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

“Resolusi menggesa PN menubuhkan jentera pilihan raya di semua peringkat, Parlimen, DUN, dan PDM (pusat daerah mengundi) itu sangat membantu, khususnya gerak kerja kita di peringkat akar umbi,” katanya.

Adun Gombak Setia itu juga berpandangan kisah anggota keluar parti juga hanya dicanang kerana PRU15 semakin dekat.

“Tapi biasalah cerita ada yang keluar parti masuk parti itu ini, itu cerita biasa dalam keadaan nak berdepan pilihan raya.

“Sebagaimana saya sebut yang penting kita fokus pastikan gerak kerja kita berjalan kemas, baik, tersusun dan jangan bawa agenda perpecahan sebaliknya (promosi) perpaduan, kesatuan ummah.

“Pastikan masyarakat kita bersedia hadapi sebarang cabaran,” kata Hilman. – 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen