Polis Selangor berkas 52 pendatang tanpa izin


POLIS menahan 52 pendatang tanpa izin termasuk tiga tekong di dua lokasi berasingan menerusi Op Nyah 1 Selangor di Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata keseluruhan pendatang yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh berumur antara 6 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan bermula jam 12.30 tengah malam di kawasan Pantai Long Beach, Morib dan di sebuah inap desa di Kampung Endah, Banting oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am.

“Semasa rondaan pihak berkuasa terserempak dengan (11) pendatang warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak perempuan di dalam paya bakau di kawasan berkenaan.

“Soal siasat terhadap mereka membawa serbuan di inap desa Kampung Endah yang membawa penangkapan 41 pendatang dengan 37 daripadanya warga Indonesia dan selebihnya 4 warga Bangladesh.

“Siasatan awal menunjukkan tiga lelaki warga Indonesia turut berada di rumah itu dipercayai tekong yang menguruskan perjalanan mereka masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, hasil semakan juga mendapati semua pendatang terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan sah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati semua pendatang membayar purata antara RM2,000 hingga RM4,500 kepada sindiket bagi ditempatkan di sektor ladang dan pembinaan di sekitar Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan seterusnya dan disiasat di bawah kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. – Bernama, 17 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen